6 anak turut derma organ

YUSUFF Hassan (kiri) bersama Sapiah Hamzah menceritakan pengalaman mereka mengenai pendermaan organ pada Program Sambutan Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/SITI AIRUNNISA ALAUI


KUALA TERENGGANU 1 Nov. - Kira-kira lima tahun lalu, Yusuff Hassan, 56, dan Sapiah Hamzah, 52, kehilangan anak mereka, Nur Mohamad Sahiduzzaman, 15, dalam kemalangan jalan raya.

Biarpun kejadian itu telah lama berlalu, namun ingatan terhadap anak mereka tetap kukuh, apatah lagi arwah merupakan penderma jantung pertama buat Tee Hui Yee, 19, yang meninggal dunia September lalu.

Lebih membanggakan, bukan sahaja jantung, malah enam organ anaknya iaitu paru-paru, hati, dua buah pinggang dan dua kornea turut didermakan selepas anaknya itu disahkan mati otak akibat kemalangan tersebut.

Kesanggupan itu tidak terhenti di situ sahaja apabila suami isteri berkenaan turut mengizinkan enam anaknya yang berusia antara 11 hingga 24 tahun berikrar bagi menderma organ mereka suatu hari nanti.

"Memang pada mulanya sukar untuk kami menerima hakikat anak kami telah meninggal dunia, namun kami teringat permintaan arwah yang pernah memberitahu ingin menderma organ dan permintaan itu perlu dipenuhi.

"Selepas menderma organnya, kami berasa sangat tenang dan diberi kekuatan menerima ketentuan takdir sehingga seluruh ahli keluarga kini mendaftar sebagai penderma organ," kata Yusuff.

Pasangan suami isteri itu ditemui dalam Program Sambutan Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, dekat sini hari ini.

Yusuff dan isterinya merupakan antara tetamu istimewa yang dijemput berkongsi pengalaman bersama lebih 300 hadirin dalam program berkenaan.

Sejak tiga tahun lalu, Yusuff yang kini menetap di Kuala Rompin, Pahang menjadi sukarelawan dengan menyertai pelbagai program bersama Kementerian Kesihatan Malaysia untuk berkongsi pengalaman serta memberi motivasi bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat berikrar menjadi penderma organ.

Dalam pada itu, Yusuff turut meminta kerajaan mempertimbangkan supaya para penderma organ terutamanya yang disahkan mati otak mendapat layanan lebih istimewa ketika ditempatkan di hospital.

Jelasnya, perkara itu memandangkan keputusan membenarkan ahli keluarga menderma organ bukan perkara mudah.

"Saya telah melalui pelbagai rintangan ketika menguruskan anak saya, jadi saya amat berharap kementerian dapat mengkaji perkara ini kerana saya yakin layanan itu dapat menarik minat masyarakat untuk mendaftar sebagai penderma organ," jelasnya

Sumber Utusan

KOMEN: Menderma organ dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain selain mendapat pahala......

No comments:

Post a Comment