Banjir kilat berulang lagi

TENGGELAM...banjir di Jalan Kebun, semalam.



KLANG: Hampir 600 keluarga di Kampung Johan Setia, Kampung Sri Nadi, Kampung SC, Kampung Bukit Naga, Kampung Baru Dua, Kampung Baru Satu dan Taman Malindo, di sini, bagaikan tidak sempat bernafas kerana banjir kilat yang melanda Rabu lalu, berulang lagi petang semalam berikutan hujan lebat tanpa henti lebih tiga jam.

Nasib malang penduduk kawasan itu berterusan kerana pada 19 Oktober lalu, rumah mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter. Hujan lebat bermula jam 5 petang yang mengakibatkan banjir kilat itu menenggelamkan hampir keseluruhan laluan masuk dan padang Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, di sini, sehingga pelajar dan guru terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang selepas tamat sekolah sesi petang.

Penduduk, Anuar Aziz, 41, ketika ditemui berkata, banjir kilat menjadi ancaman biasa di kalangan penghuni di kawasan itu.

“Dalam keadaan ini perlu saling membantu kerana kebanyakan jiran kami yang menjadi mangsa sedang bekerja,” katanya.

Penduduk lain, Kholik Suharno, 50, pula mendakwa banjir kilat semalam antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.

“Kami tahu hujan tidak boleh dihalang, tetapi pihak berkenaan perlu memastikan semua sistem pengairan seperti parit mengalirkan air selepas hujan lebat. Sesiapa pun tak boleh tahan kalau banjir sentiasa melanda kerana ia menyebabkan kami sentiasa kerugian,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Samsi Sarmin, 52, dari Kampung Baru Dua, berkata, banjir kilat kali ini antara terburuk kerana sebelum ini air tidak memasuki rumahnya.

Katanya, walaupun parit utama berdekatan sudah diselenggara, air melimpah dan memasuki rumah walaupun beliau mengeluarkan ribuan ringgit membina tembok di tepi parit berkenaan.

“Air baru sahaja surut semalam (kelmarin), tetapi hujan terlalu lebat menyebabkan air parit melimpah. Kami terpaksa mengalihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi bagi mengelak kejadian tidak diingini, tambahan pula hujan belum reda,” katanya.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah di Kampung Johan Setia dan Kampung SC yang membabitkan hampir 200 rumah.

Menurutnya, beberapa pegawai JKM membantu menguruskan pendaftaran mangsa banjir dan menasihatkan mereka supaya segera berpindah ke tempat selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Jagalah kebersihan sungai kita agar tidak tersumbat dan dapat mengalak dari banjir..

No comments:

Post a Comment