Mat rempit bertempiaran lari

Sebahagian penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi yang diadakan Unit Khas Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuantan, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI



KUANTAN 4 Nov. - Ratusan mat rempit di sini yang menjadikan malam minggu untuk berlumba bertempiaran melarikan diri apabila 'lokasi' mereka di pusat bandar ini diserbu pasukan polis dalam operasi khas melibatkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kontinjen negeri malam tadi.

Namun, tindakan pantas dan strategi polis yang menutup jalan empat lorong dan jalan-jalan kecil pukul 1.40 pagi di kedua-dua arah menyebabkan golongan terbabit gagal meloloskan diri.

Dalam operasi bermula pukul 8 malam itu, seramai 263 penunggang motosikal diperiksa dengan 117 daripada kenderaan mereka disita kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Selain itu, pihak berkuasa turut mengeluarkan sejumlah 220 saman dan 71 notis arahan bagi pemeriksaan semula.

Turut ditahan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu ketika menunggang motosikal secara melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Permatang Badak, di sini.

Operasi Unit Khas Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang diketuai Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit turut disertai pegawai dan anggota pelbagai cawangan dari kontijen negeri ini.

Ini termasuk trafik negeri, Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Bahagian Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan dan Bahagian Narkotik IPD Kuantan selain dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Kuantan.

Khuzir berkata, antara kesalahan dilakukan adalah menunggang motosikal tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin serta nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi.

"Selain itu, terdapat 19 buah motosikal ditinggalkan oleh pemilik terbabit manakala tujuh orang pula ditahan kerana didapati positif dadah.

"Pemilik motosikal yang meninggalkan kenderaan mereka semasa operasi itu akan disaman semasa menuntut kenderaan masing-masing nanti," katanya.

Kata beliau, operasi tersebut bertujuan mencegah gejala rempit yang sering menjadikan jalan di situ sebagai tempat berlumba.

"Kita juga menerima aduan daripada penduduk sekitar yang tidak tahan dengan bunyi bising serta lumba haram di situ dan tindakan segera diambil bagi mencegahnya," katanya.

Sumber Utusan

KOMEN: Apa nak jadi dengan anak melayu sekarang.......

No comments:

Post a Comment