Wang tunai RM176,000 lesap



SHAH ALAM 22 Okt. - Sekumpulan penjenayah melarikan wang tunai RM176,000 selepas menebuk dinding tempat pembuangan sampah dan pintu bilik kebal cawangan Agro Bank di Dataran Sunway, Petaling Jaya di sini awal pagi semalam.

Rompakan nekad tersebut hanya disedari kakitangan bank yang datang untuk memulakan tugas pada pukul 7.50 pagi ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis percaya penjenayah terbabit menebuk dinding tempat pembuangan sampah di bahagian belakang bank itu kira-kira pukul 3 pagi.

"Mereka kemudian masuk dan menebuk pula pintu bilik kebal dan mengambil kesemua wang tunai di dalamnya berjumlah RM176,000 sebelum melarikan diri," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Tun Hisan berkata, polis menemukan peralatan untuk menebuk lubang yang ditinggalkan kumpulan perompak itu.

Beliau berkata, pihaknya percaya rompakan ini dirancang secara teliti kerana penjenayah terbabit tahu lokasi tempat pembuangan sampah dan bilik kebal di bank itu.

"Polis masih menyiasat kejadian ini dan telah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.

"Kita juga akan melihat rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di bank tersebut bagi mengesan penjenayah yang terlibat," kata beliau

Sumber Utusan

KOMEN: Cerdik mereka buat strategi.....tapi tak bertempat

No comments:

Post a Comment