Dua remaja dituduh membunuh

Dua remaja yang didakwa terlibat dalam kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dibawa ke Mahkamah Kanak-Kanak, Alor Gajah, Melaka, semalam. - Utusan/Mohammad Dzulhisham Che Hassim



ALOR GAJAH 5 Nov. - Dua remaja berusia 14 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar sebaya mereka dalam pergaduhan di Stesen Bas Pulau Sebang, Tampin, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyebabkan kematian K. Saravannan, 14, di Tingkat 1, Perhentian Bas & Teksi, Pulau Sebang, kira-kira pukul 2.30 petang, 24 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulunya, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Ishak yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang.

Walau bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili mereka memohon jaminan dikurangkan dengan alasan ibu tertuduh pertama hanya bekerja sebagai pekerja kilang dengan pendapatan tidak sampai RM1,500 dan mempunyai anak yang bersekolah.

''Bagi tertuduh kedua pula, bapanya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 dan menanggung lima anak dan isteri,'' kata Azrul.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Mohd. Firdaus Saleh membenarkan jaminan RM5,000 setiap seorang selain menetapkan syarat tambahan, mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Dalam prosiding tertutup itu, mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Sumber Utusan

KOMEN: Apa nak jadi dengan remaja sekarang..........

No comments:

Post a Comment