Harga lelaki mahu 'jelita'




Kuala Lumpur: Membuat dagu terbelah dan runcing, memancungkan hidung, membetulkan tulang pipi serta mengambil suntikan vitamin C supaya kulit muka lebih cerah.

Jika dulu semua rawatan perubatan kosmetik itu hanya dilakukan wanita, kini ia turut dipraktikkan segelintir lelaki di Malaysia.

Pengaruh fenomena K-pop dipercayai turut menjadi faktor penyumbang kepada perkembangan terbaru ini hingga ada lelaki terbabit sanggup berhabisan ribuan ringgit bagi mendapatkan wajah idaman persis penyanyi dan pelakon Korea.

Malah, ada juga yang bertindak lebih drastik dengan melakukan pembedahan menyedut lemak di dada, perut dan paha bagi mendapatkan susuk tubuh menarik supaya lebih sesuai dengan bentuk wajah yang diubah.

Disebabkan kos untuk mengubah raut wajah dan susuk tubuh memakan belanja besar, ramai dalam kalangan ‘lelaki jelita’ itu menerima rawatan di pusat kecantikan dan bukan klinik pengamal perubatan kosmetik bertauliah.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Apa nak jadi manusia zaman sekarang.........

Mati ditetak rakan serumah

Rakan serumah mangsa ditahan polis untuk siasatan.



Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 26 tahun ‘berkurung’ hampir enam jam selepas menetak hingga mati rakan serumahnya dalam kejadian di Flat Sri Kuching, di sini, semalam.

Dalam kejadian disedari kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki terbabit dipercayai panik selepas membunuh rakan serumahnya iaitu seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Yulianti, 36, sebelum bertindak mengurung diri di dalam biliknya.

Difahamkan, mangsa dan lelaki terbabit ada bertengkar sebelum mangsa ditetak di belakang leher menggunakan pisau pemotong daging.

Kejadian berkenaan hanya disedari pemilik rumah berkenaan yang mahu dikenali sebagai Beh, 50, selepas memecahkan pintu rumah berkenaan.

Katanya, dia memecahkan mangga jeriji dan pintu rumah itu selepas berulang-kali memanggil mangsa namun tiada jawapan.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Jika mengalami masalah, bawa berbincang secara baik......

Mati enggan sekolah petang



MIRI: Seorang pelajar tingkatan dua yang sebelum ini menyuarakan keengganannya ke sekolah pada sesi petang kerana adik-beradiknya yang lain bersekolah pagi, ditemui mati tergantung di tingkap bilik di rumahnya di Desa Pujut, di sini, semalam.

Alexander Ajang, 14, yang juga anak kedua daripada empat beradik itu ditemui tergantung dengan leher dijerut tuala dan baju yang diikat pada jeriji tingkap oleh bapanya, jam 12 tengah hari.

Ibu saudara mangsa, Roselind, 32, berkata, kematian mangsa amat mengejutkan kerana sejam sebelum kejadian, dia bersikap seperti biasa ketika membuka pintu rumah untuk bapanya berusia 40-an yang pulang untuk menghantarnya ke sekolah.

“Sebaik bapanya yang juga abang saya tiba di rumah, dia berehat di rumah tamu dan menyuruh anaknya itu mandi serta memakai seragam untuk ke sekolah.

“Tapi, selepas setengah jam dia masih tidak keluar dari bilik biarpun ayahnya memanggil namanya beberapa kali. Sebaik pintu bilik dibuka, ayahnya terkejut melihat dia tergantung di tingkap bilik dan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut wanita itu, sehari sebelum kejadian, mangsa memberitahu tidak mahu ke sekolah kerana abang serta adik-beradiknya yang lain bersekolah sesi pagi dan hanya dia pada sesi petang.

“Bagaimanapun, semua ahli keluarga lain tidak mengendahkan kata-katanya kerana menganggap itu perkara biasa saja. Kami tidak menyangka dia akan mengambil tindakan drastik seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Nasi dah jadi bubur.....

Pelakon Zarina kena lokap



PETALING JAYA: Pelakon dan model kontroversi, Zarina Anjoulie dan rakan lelakinya dihadapkan ke ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan memiliki dadah jenis Eramin 5 seberat 0.6 gram, tiga hari lalu.

Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul dan rakan lelakinya, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, masing-masing berusia 27 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nazri Omran.

Mengikut pertuduhan, pelakon drama bersiri ‘Anak Pontianak’ itu dan Mohamad Fakhruzaim didakwa bersama-sama memiliki dua pil Eramin 5 seberat 0.6 gram.

Mereka didakwa memiliki bahan terlarang itu di sebuah rumah beralamat Nombor C-3-10 Armanee Condominium, Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, di sini, pada jam 5.30 petang, 30 Disember 2012.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zarina yang memakai baju-T berwarna kelabu dan berseluar merah jambu tenang ketika pertuduhan dibacakan kepadanya. Terdahulu, pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Bukhari Wan Mohd menawarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM6,000 setiap seorang.

Bagaimanapun, peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah kerana mereka masih belajar di kolej swasta.

Seorang rakan wanita kepada Zarina hadir menjaminnya dan mengaku dirinya pemilik kondominium di Damansara Damai itu, namun mahkamah tidak membenarkan dia mengikat jamin tertuduh atas alasan mereka tiada pertalian keluarga. Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM2,000 dengan syarat penjamin daripada ahli keluarga dan sebutan ditetapkan pada 8 Februari ini.

Sehingga jam 4 petang semalam, tiada ahli keluarga aktres itu tampil menjaminnya dan dia dibawa ke Kompleks Penjara Kajang.

Bagaimanapun, Mohamad Fakhruzaim membayar wang ikat jamin RM2,000 itu menerusi abangnya dan dibenarkan pulang.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Sesiapa yang bersalah harus dihukum tak kira setinggi pangkat atau orang ternama..

Tiada had harga telefon pintar



KUALA LUMPUR 2 Jan. - Jemaah Menteri telah bersetuju agar belia berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan RM3,000 ke bawah boleh membeli apa jua jenis telefon pintar dengan rebat RM200 yang diumumkan kerajaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan di sini berkata, perkara itu diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementerian tersebut hari ini.

Pemberian rebat RM200 itu dilaksanakan di bawah Pakej Komunikasi Belia (PKB) selaras dengan ucapan Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada September lepas.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan skim tersebut ialah atas prinsip ‘siapa cepat dia dapat’.

Tujuh syarikat telekomunikasi yang melaksanakan skim PKB di bawah koordinasi SKMM adalah Celcom, Clixster, DiGi, Maxis, Tune Talk, U Mobile dan YTL Communications.

SKMM memperjelaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan PKB sama ada penjual atau peruncit dikenakan syarat harga patut.

Dalam kenyataan terdahulu, SKMM memaklumkan hampir 5,500 belia yang layak telah mendaftar untuk mendapatkan rebat itu selepas pendaftarannya dibuka semalam.

SKMM turut menasihati para belia yang telah berdaftar untuk membuat pilihan dengan bijak serta meninjau pasaran terlebih dahulu sebelum membeli peranti pilihan berdasarkan tahap kemampuan masing-masing.

Pendaftaran di bawah PKB boleh dilakukan secara online dari pukul 7 pagi hingga 11 malam di laman sesawang komunikasibelia.skmm. gov.my.

Orang ramai boleh menghubungi hotline SKMM di 1800-88-4040 dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum jika terdapat sebarang pertanyaan.

Sumber: Utusan

KOMEN: Daftarlah sekarang bagi yang layak.....