Suri rumah berusia 17 tahun maut dipukul suami

Nor Fatimah Anis Md. Radzi dan suami pada majlis pernikahan mereka di Kodiang, Jitra, Jun lalu.



ALOR SETAR 28 Dis. - Angkara cemburu, seorang suri rumah berusia 17 tahun yang baru enam bulan melangsungkan perkahwinannya maut selepas dipukul suaminya di kepala dipercayai menggunakan objek keras dalam satu pertengkaran dengan seorang kenalan lelaki mereka awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi di sebuah rumah di Kampung Alor Gelegah di sini, Nor Fatimah Anis Md. Radzi ditemui mati di rumah mertuanya itu oleh salah seorang ahli keluarga mereka yang tinggal bersebelahan kediaman dua tingkat tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, pasangan suami isteri berkenaan pada mulanya dikatakan bertengkar di hadapan rumah tersebut sebelum mereka keluar dengan menunggang sebuah motosikal.

Kira-kira 15 minit kemudian, katanya, pasangan itu pulang semula dan seorang lelaki yang turut menunggang sebuah motosikal mengikut mereka.

Siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan dan pertengkaran antara suami mangsa yang berusia 26 tahun dan lelaki tersebut di hadapan rumah. Dalam pergaduhan itu, mangsa mendapat kecederaan dipercayai akibat terkena hentakan objek keras.

Mereka kemudian bersurai dan mangsa dibawa masuk ke dalam rumah oleh suaminya itu sebelum ditemui meninggal dunia pukul 6.30 pagi," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zakaria, susulan itu, polis menahan suami mangsa dan dua kenalan mereka berusia 20-an bagi membantu siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis percaya kes berkenaan berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya ketiga-tiga lelaki tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk untuk mengetahui hubungan mangsa dengan salah seorang kenalan lelaki mereka itu yang dikatakan sebagai abang kekasihnya.

Kita juga menyiasat kes ini yang kemungkinan ada kaitan dengan cemburu sebelum dapat menentukan motif kejadian berdasarkan maklumat yang dikumpul dan sedang menunggu laporan penuh dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengenai punca sebenar kematian," katanya.

Difahamkan, semasa siasatan, suami mangsa yang panik dengan kejadian itu mendakwa isterinya dibunuh oleh penyamun yang memasuki rumah mereka.

Sementara itu, seorang ahli keluarga yang enggan dikenali memberitahu, dia terdengar suara pertengkaran pasangan suami isteri berkenaan dari rumah tersebut awal pagi ini.

Dalam pertengkaran itu, dakwanya, dia yang tinggal berhampiran dapat mendengar suara remaja perempuan berkenaan menangis dan mengerang kesakitan.

Saya cuba menegur mereka supaya berhenti bertengkar namun tidak diendahkan. Saya tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku sebelum mangsa ditemui mati kira-kira pukul 6.30 pagi," katanya.

Dalam pada itu, seorang jiran berusia 20-an pula memberitahu, dia dikejutkan dari tidur setelah mendengar pertengkaran dari rumah berkenaan.

Kira-kira pukul 4 pagi suasana di rumah itu senyap dan lampu dipadam," katanya yang turut memberitahu, pasangan suami isteri berkenaan bernikah pada Jun lalu dan mengadakan majlis kenduri Ogos lepas.

Sumber: Utusan

KOMEN: Dalam sesebuah keluarga haruslah berbincang secara baik sekiranya mengalami masalah.....

No comments:

Post a Comment