Sektor komoditi dijangka tidak menentu 2013

Harga minyak sawit mentah turun ke paras paling rendah dalam tempoh tiga tahun pada pertengahan Disember disebabkan paras simpanan yang tinggi. - Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR 20 Dis. - Sektor komoditi dijangka berhadapan ketidaktentuan berikutan faktor seperti simpanan minyak sawit yang tinggi dan perkembangan di dalam ekonomi global yang mempengaruhi harga dan sentimen.

Para penganalisis dan pedagang mempunyai pandangan bercampur-campur mengenai bagaimana harga akan bergerak pada tahun depan kerana ekonomi utama di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka memberi kesan pada pasaran komoditi.

Seorang penganalisis berkata, walaupun keadaan yang buruk disebabkan krisis hutang di Eropah sudah berlalu, masih wujud kebimbangan mengenai bagaimana Eropah dapat melaksanakan langkah berkesan memulihkan ekonomi.

Bank Pusat Eropah memberi amaran tentang pertumbuhan ekonomi yang suram bagi 17 negara Kesatuan Eropah (EU) di dalam zon euro pada tahun depan.

Di AS, para pembuat dasar bergelut mencapai persetujuan bagi menyelesaikan masalah fiskal.

Penganalisis Kenanga Research, Alan Lim Seong Chun mengunjurkan bahawa harga fizikal minyak sawit mentah (MSM) akan kekal hampir tidak berubah pada tahun depan.

"Ia dijangka bergerak sekitar purata harga RM2,850 setan metrik berbanding kira-kira RM2,900 pada 2012.

"Kebimbangan utama kini ialah sama ada paras simpanan semasa yang tinggi boleh dikurangkan," katanya hari ini.

Simpanan MSM mencecah paras tertinggi 2.56 juta tan metrik pada November.

Seorang penganalisis perladangan yang lain menjangka harga MSM berada pada purata RM3,050 setan metrik pada tahun depan berbanding RM2,800 pada 2012, yang akan dipacu kebanyakannya oleh pemulihan ekonomi global.

Harga MSM turun ke paras paling rendah dalam tempoh tiga tahun pada pertengahan Disember disebabkan paras simpanan paling tinggi itu.

Di segi tinjauan pasaran getah Malaysia, seorang peniaga berkata harganya dijangka bergerak pada jajaran sempit pada tahun depan, dengan menerima kesan faktor luaran seperti masalah ekonomi zon euro dan ekonomi AS.

Para pemain industri berkata, Malaysia, satu pengeluar utama sarung tangan getah dan kondom, akan terus meningkatkan eksport getah kerana krisis kewangan di Eropah dan kemelesetan dalam ekonomi AS akan memberi kesan kecil pada permintaan bagi mendapatkan kondom dan sarung tangan perubatan.

Bagi koko, para pemain industri itu menjangka harga mengukuh pada tahun depan berikutan kurang bekalan selepas krisis kewangan Eropah telah mengurangkan kapasiti mengisar dari rantau itu.

Eksport koko Malaysia lebih RM4.2 bilion dijangka dikekalkan pada tahun ini walau pun berlaku kemelesetan di segi pengeluaran koko, kata mereka.

Sumber: Utusan

KOMEN: Terimalah semua dugaan tuhan........

No comments:

Post a Comment