Bekas ahli MPAJ dijel 8 tahun




KUALA LUMPUR 28 Dis. - Bekas Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd. Ghani Ismail (gambar) dihukum penjara lapan tahun dan denda RM977,560 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas 10 pertuduhan rasuah melibatkan sejumlah RM193,512, enam tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Hukuman tersebut berkuat kuasa hari ini setelah mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara notis rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi.

Jika gagal membayar denda, tempoh pemenjaraan Abd. Ghani, 46, boleh ditambah sembilan tahun dua bulan lagi.

Abd. Ghani yang merupakan ahli Jawatankuasa Tender MPAJ ketika kejadian, didakwa bagi pertuduhan pertama menerima suapan daripada seorang kontraktor, Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) sebanyak RM24,189.

Perbuatan itu dilakukan sebagai balasan membantu Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.

Dia yang juga Ketua UMNO Bahagian Pandan, didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan di sini pada pukul 9 malam, 4 Ogos 2006.

Bagi lapan lagi pertuduhan, Abd. Ghani didakwa secara rasuah menerima antara RM10,189 dan RM24,189 yang kesemuanya berjumlah RM169,323 daripada Abdul Rahman di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di sini antara 20 Oktober 2006 dan 31 Mac 2007.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke-10 pula, lelaki itu didakwa memperoleh suapan bagi diri dia iaitu pelantikan syarikat Lembah Rimbun sebagai subkontraktor kepada syarikat Dwisakti Mewah Sdn. Bhd. yang dia mempunyai kepentingan dalam syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.

Ia sebagai upah menolong syarikat Dwisakti Mewah Sdn. Bhd. mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan bandar Pandan Indah daripada MPAJ.

Rozilah memutuskan bagi kesemua sembilan pertuduhan, Abd. Ghani dipenjara antara tiga tahun sehingga lima tahun dan denda antara RM50,945 sehingga RM120,945 serta memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak.

Bagi pertuduhan ke-10, beliau memerintahkan Abd. Ghani dipenjara tiga tahun dan denda RM10,000 serta hukuman penjara dilaksanakan secara berasingan dengan pertuduhan yang lain.

Sebelum itu, kira-kira 10 minit semasa Rozilah membaca keputusannya, Abd. Ghani yang sedang berdiri dalam kandang tertuduh secara tiba-tiba jatuh dan pitam dipercayai tidak mengambil sarapan.

Berikutan itu, Rozilah memerintahkan mahkamah berhenti seketika kira-kira 15 minit.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozilah turut menasihatkan Abd. Ghani agar bertaubat dan memperbaiki diri sebelum terlambat.

Katanya, rasuah merupakan kesalahan sangat serius dan hasil rasuah yang diberi kepada keluarga akan menjadi darah daging dan bahan bakar di neraka.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam bela, Md. Yunos Shariff yang mewakili tertuduh memberitahu, Abd. Ghani telah benar-benar menyesal dan memohon diberi peluang kedua.

Ini adalah kesalahan jenayah pertama tertuduh dan akibat kes ini, perniagaannya kini terjejas teruk dan akan kehilangan jawatan politik selain mempunyai tanggungan keluarga yang terdiri daripada isteri, tiga anak, ibu dan ibu mertuanya,’’ katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Roziza Sidek.

Sumber: Utusan

KOMEN: sepandai-pandai tupai melompat...........

No comments:

Post a Comment