Ajal ketika tengok bola

SOLAT... ahli keluarga dan rakan menunaikan solat jenazah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

KLANG: “Ketika pasukan Kelantan menyerang, semua penyokong bersorak tapi saya lihat dia hanya duduk diam sebelum tiba-tiba rebah,” kata Nik Mohd Eppendi Nik Yaacob, 46, rakan Suharto Abdullah, 45, penyokong Kelantan yang meninggal dunia ketika sedang menonton perlawanan bola sepak separuh akhir Piala Malaysia dengan Selangor di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Nik Mohd Eppendi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, iaitu pada minit ke-63 perlawanan, rakannya tiba-tiba menjadi tidak bermaya menyebabkan dia segera memangku bahagian belakang badan Suharto daripada rebah mengenai penonton lain yang duduk di belakangnya.

“Waktu itu pasukan Kelantan sedang hebat mengasak dan semua penyokong bersorak. Kebanyakan penonton berdekatan tidak menyedari kejadian itu sebelum saya menjerit meminta tolong. Beberapa penonton kemudian membantu mengusung arwah yang sesak nafas ke tingkat bawah tempat duduk penonton stadium berkenaan,” katanya.

Katanya, mereka kemudian meminta bantuan anggota polis di situ sebelum dibawa ke sebuah hospital swasta di Shah Alam menggunakan van milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Bagaimanapun, Suharto disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan pada jam 10.50 malam dipercayai akibat serangan jantung sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, untuk bedah siasat.

Menceritakan kejadian itu, Nik Mohd Appendi berkata, dia bersama Suharto dan seorang rakan dikenali sebagai Mat Yaacob menaiki penerbangan Firefly dari Kota Bharu jam 3 petang kelmarin sebelum tiba di Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang, kira-kira sejam kemudian. Mereka kemudian dijemput seorang lagi rakan dengan teksi untuk ke Stadium Shah Alam.

“Sepanjang bersama arwah semalam (kelmarin), dia nampak sihat dan ceria, malah begitu bersemangat untuk memberi sokongan kepada pasukan Kelantan. Sebelum masuk ke stadium kira-kira jam 7.30 malam, kami berdua sempat membeli beberapa helai jersi pasukan Kelantan dan makan malam,” katanya.

Nik Mohd Eppendi berkata, sebelum memasuki stadium, Suharto yang juga ejen insurans sempat ditemubual kru sebuah stesen televisyen mengenai peluang Kelantan dan dia dengan bersemangat mengatakan Kelantan akan menang.

Katanya, sepanjang separuh masa pertama perlawanan, Suharto juga bersemangat dan bersorak bersama ribuan penyokong Kelantan serta tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kesihatannya terganggu.

“Ketika perlawanan berehat, arwah pergi membeli minuman di tingkat bawah dan sebaik perlawanan separuh masa kedua bermula, saya mula lihat arwah tidak lagi bersorak dan hanya duduk diam,” katanya.

Sementara itu, isteri Suharto, Mazlina Othman, 43, berkata, suaminya penyokong setia skuad The Red Warriors dan tidak pernah ketinggalan menonton aksi pasukan itu di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Semua lapisan umur perlu menjalani ujian kesihatan untuk menilai tahap kesihatan masing-masing sebelum terlambat.

No comments:

Post a Comment