Porsche Panamera 4 hilang ditemui semula

ANGGOTA polis memeriksa kereta Porsche Panamera 4 yang ditemui semula di Pasar Borong Selangor selepas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur, semalam


KUALA LUMPUR 22 Okt. - Selepas 12 hari sebuah Porsche Panamera 4 dicuri dari sebuah pusat pameran jenama itu di Jalan Bukit Bintang di sini, kenderaan mewah tersebut akhirnya ditemui di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Polis turut menahan seorang lelaki yang disyaki pembeli kereta bernilai RM900,000 tersebut dalam serbuan di tempat letak kenderaan di situ, pukul 12.30 tengah hari.

Difahamkan, kereta itu yang dibeli suspek dengan harga RM30,000 dikesan berada di kawasan tersebut sejak 19 Oktober lalu menerusi alat pengesan satelit (GPS) yang dipasang di dalamnya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, kereta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut sebelum ia diserahkan kepada pemilik syarikat itu.

"Kereta itu ditemui dalam keadaan baik tanpa kerosakan atau kehilangan peralatan di dalamnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 11 Oktober lalu itu, seorang lelaki melarikan sebuah kereta Porsche Panamera 4 dari sebuah bilik pameran kereta jenama itu di Jalan Bukit Bintang di sini setelah berpura-pura mencari seorang rakan yang kononnya kakitangan di situ.

Suspek terbabit yang dipercayai menjual kereta mewah itu kepada seorang pembeli kemudian ditahan di Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang dekat sini, iaitu selepas 18 jam diburu.

Polis kemudian memburu seorang suspek, Shoo Kar Sin, yang dikatakan turut mempunyai kaitan dalam kes kecurian dua buah kereta mewah jenis Audi R8 selain Porsche Panamera tersebut di ibu negara.

Kereta Audi R8 bernilai RM560,000 itu dilaporkan hilang dari sebuah pusat pameran kereta di Jalan Chan Sow Lin pada 6 September lalu.

Dalam pada itu, sumber berkata, kegiatan tersebut dipercayai didalangi sindiket curi kereta mewah antarabangsa membabitkan pasaran di Thailand dan Singapura.



Sumber Utusan

KOMEN: Sepandai-pandai tupai melompat......

No comments:

Post a Comment