Perkahwinan tidak jejas prestasi saya - Apek

Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Eilunie Natasha Jaafar selepas majlis pernikahan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Wakaf Baru, semalam. 



TUMPAT - Penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat, 23, menegaskan perkahwinannya dengan pemilik butik dan model Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, tidak akan menjejaskan prestasinya sebagai seorang pemain bola sepak negara dan Kelantan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Apek berkata, perkahwinan tersebut harus dipandang positif kerana ia akan membangkitkan lagi semangatnya untuk beraksi di atas padang.

"Insya-Allah prestasi saya tidak akan terjejas, kita kena ambil positif, lihat David Beckham sebelum ini biarpun sudah berkahwin tetapi prestasinya tidak menurun malah semakin meningkat.

"Saya akan cuba kekalkan prestasi yang terbaik kerana ini adalah karier saya dan saya amat bertuah kerana Leuniey amat memahami karier saya sebagai seorang pemain bola sepak," katanya dalam sidang media selepas majlis pernikahan beliau di Wakaf Bharu di sini semalam.

Apek dan Nur Eilunie atau Leuniey selamat diijabkabulkan pada pukul 10 pagi semalam di rumah keluarga Leuniey di Wakaf Bharu dekat sini.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib dengan disaksikan oleh ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa kedua mempelai di rumah keluarga Leuniey di sini.

Pada majlis tersebut, Khairul Fahmi menyerahkan mas kahwin sebanyak RM19,000 bersama tujuh dulang hantaran dan Leuniey membalas dengan tujuh dulang.

Apek yang mengenakan persalinan berwarna kuning muda sah menjadi suami kepada Leuniey dengan sekali lafaz dan lebih 2,000 tetamu termasuk peminat setia mereka hadir pada majlis pernikahan tersebut.

Khairul Fahmi ketika ditemui bersyukur majlis tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

"Alhamdulillah majlis pernikahan ini berlangsung dengan baik. Saya memilih Leuniey kerana dia memahami karier saya yang terlalu sibuk. Sebagai contoh, saya hanya pulang untuk membuat persediaan sehari sebelum majlis ini berlangsung.

"Perasaan saya sebelum majlis akad nikah gementar, tetapi ia tidak sama ketika beraksi di atas padang kerana hari ini semua memberi sokongan kepada saya dan Leuniey," katanya.

Dia menyerahkan kepada Allah sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat ini dan berharap akan menimang sekurang-kurangnya empat orang anak.

Dalam pada itu, Leuniey berharap suaminya akan menjadi 'kapten' kepada keluarga mereka dengan baik meskipun pelbagai kontroversi dikaitkan dengan mereka sebelum ini.

"Saya bersedia sepenuhnya, dalam masa bercinta pelbagai cerita keluar dalam akhbar dan blog. Saya sentiasa berbincang dengan suami bila cerita seperti ini keluar.

"Ini jodoh yang ditentukan dalam perjalanan hidup kami, saya bersyukur kerana kami telah disatukan," katanya sambil menyifatkan suaminya seorang yang romantik dan penuh dengan kejutan.

Sumber: Utusan

KOMEN: Semoga berkekalan sehingga ke anak cucu.........

Bekas ahli MPAJ dijel 8 tahun




KUALA LUMPUR 28 Dis. - Bekas Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd. Ghani Ismail (gambar) dihukum penjara lapan tahun dan denda RM977,560 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas 10 pertuduhan rasuah melibatkan sejumlah RM193,512, enam tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Hukuman tersebut berkuat kuasa hari ini setelah mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara notis rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi.

Jika gagal membayar denda, tempoh pemenjaraan Abd. Ghani, 46, boleh ditambah sembilan tahun dua bulan lagi.

Abd. Ghani yang merupakan ahli Jawatankuasa Tender MPAJ ketika kejadian, didakwa bagi pertuduhan pertama menerima suapan daripada seorang kontraktor, Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) sebanyak RM24,189.

Perbuatan itu dilakukan sebagai balasan membantu Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.

Dia yang juga Ketua UMNO Bahagian Pandan, didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan di sini pada pukul 9 malam, 4 Ogos 2006.

Bagi lapan lagi pertuduhan, Abd. Ghani didakwa secara rasuah menerima antara RM10,189 dan RM24,189 yang kesemuanya berjumlah RM169,323 daripada Abdul Rahman di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di sini antara 20 Oktober 2006 dan 31 Mac 2007.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke-10 pula, lelaki itu didakwa memperoleh suapan bagi diri dia iaitu pelantikan syarikat Lembah Rimbun sebagai subkontraktor kepada syarikat Dwisakti Mewah Sdn. Bhd. yang dia mempunyai kepentingan dalam syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.

Ia sebagai upah menolong syarikat Dwisakti Mewah Sdn. Bhd. mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan bandar Pandan Indah daripada MPAJ.

Rozilah memutuskan bagi kesemua sembilan pertuduhan, Abd. Ghani dipenjara antara tiga tahun sehingga lima tahun dan denda antara RM50,945 sehingga RM120,945 serta memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak.

Bagi pertuduhan ke-10, beliau memerintahkan Abd. Ghani dipenjara tiga tahun dan denda RM10,000 serta hukuman penjara dilaksanakan secara berasingan dengan pertuduhan yang lain.

Sebelum itu, kira-kira 10 minit semasa Rozilah membaca keputusannya, Abd. Ghani yang sedang berdiri dalam kandang tertuduh secara tiba-tiba jatuh dan pitam dipercayai tidak mengambil sarapan.

Berikutan itu, Rozilah memerintahkan mahkamah berhenti seketika kira-kira 15 minit.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozilah turut menasihatkan Abd. Ghani agar bertaubat dan memperbaiki diri sebelum terlambat.

Katanya, rasuah merupakan kesalahan sangat serius dan hasil rasuah yang diberi kepada keluarga akan menjadi darah daging dan bahan bakar di neraka.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam bela, Md. Yunos Shariff yang mewakili tertuduh memberitahu, Abd. Ghani telah benar-benar menyesal dan memohon diberi peluang kedua.

Ini adalah kesalahan jenayah pertama tertuduh dan akibat kes ini, perniagaannya kini terjejas teruk dan akan kehilangan jawatan politik selain mempunyai tanggungan keluarga yang terdiri daripada isteri, tiga anak, ibu dan ibu mertuanya,’’ katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Roziza Sidek.

Sumber: Utusan

KOMEN: sepandai-pandai tupai melompat...........

Suri rumah berusia 17 tahun maut dipukul suami

Nor Fatimah Anis Md. Radzi dan suami pada majlis pernikahan mereka di Kodiang, Jitra, Jun lalu.



ALOR SETAR 28 Dis. - Angkara cemburu, seorang suri rumah berusia 17 tahun yang baru enam bulan melangsungkan perkahwinannya maut selepas dipukul suaminya di kepala dipercayai menggunakan objek keras dalam satu pertengkaran dengan seorang kenalan lelaki mereka awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi di sebuah rumah di Kampung Alor Gelegah di sini, Nor Fatimah Anis Md. Radzi ditemui mati di rumah mertuanya itu oleh salah seorang ahli keluarga mereka yang tinggal bersebelahan kediaman dua tingkat tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, pasangan suami isteri berkenaan pada mulanya dikatakan bertengkar di hadapan rumah tersebut sebelum mereka keluar dengan menunggang sebuah motosikal.

Kira-kira 15 minit kemudian, katanya, pasangan itu pulang semula dan seorang lelaki yang turut menunggang sebuah motosikal mengikut mereka.

Siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan dan pertengkaran antara suami mangsa yang berusia 26 tahun dan lelaki tersebut di hadapan rumah. Dalam pergaduhan itu, mangsa mendapat kecederaan dipercayai akibat terkena hentakan objek keras.

Mereka kemudian bersurai dan mangsa dibawa masuk ke dalam rumah oleh suaminya itu sebelum ditemui meninggal dunia pukul 6.30 pagi," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zakaria, susulan itu, polis menahan suami mangsa dan dua kenalan mereka berusia 20-an bagi membantu siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis percaya kes berkenaan berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya ketiga-tiga lelaki tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk untuk mengetahui hubungan mangsa dengan salah seorang kenalan lelaki mereka itu yang dikatakan sebagai abang kekasihnya.

Kita juga menyiasat kes ini yang kemungkinan ada kaitan dengan cemburu sebelum dapat menentukan motif kejadian berdasarkan maklumat yang dikumpul dan sedang menunggu laporan penuh dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengenai punca sebenar kematian," katanya.

Difahamkan, semasa siasatan, suami mangsa yang panik dengan kejadian itu mendakwa isterinya dibunuh oleh penyamun yang memasuki rumah mereka.

Sementara itu, seorang ahli keluarga yang enggan dikenali memberitahu, dia terdengar suara pertengkaran pasangan suami isteri berkenaan dari rumah tersebut awal pagi ini.

Dalam pertengkaran itu, dakwanya, dia yang tinggal berhampiran dapat mendengar suara remaja perempuan berkenaan menangis dan mengerang kesakitan.

Saya cuba menegur mereka supaya berhenti bertengkar namun tidak diendahkan. Saya tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku sebelum mangsa ditemui mati kira-kira pukul 6.30 pagi," katanya.

Dalam pada itu, seorang jiran berusia 20-an pula memberitahu, dia dikejutkan dari tidur setelah mendengar pertengkaran dari rumah berkenaan.

Kira-kira pukul 4 pagi suasana di rumah itu senyap dan lampu dipadam," katanya yang turut memberitahu, pasangan suami isteri berkenaan bernikah pada Jun lalu dan mengadakan majlis kenduri Ogos lepas.

Sumber: Utusan

KOMEN: Dalam sesebuah keluarga haruslah berbincang secara baik sekiranya mengalami masalah.....

‘Simpan duit beli baru’

TOLAK TANAH...kerja membersih tanah yang runtuh giat dilakukan di Kampung Air Putih.


KEMAMAN: “Nampaknya, saya kena simpan duit untuk beli kereta baru kerana Perodua Viva saya mungkin tidak boleh digunakan lagi,” kata Rafliza Hussin, 25, pemilik sebuah daripada lima kenderaan yang ditimbus tanah runtuh di Kilometer 139 Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran persimpangan masuk Kampung Air Putih, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, lima kereta dan sebuah lori ditimbus tanah yang runtuh dari tebing setinggi kira-kira 20 meter akibat hujan lebat melanda kawasan itu sejak dua hari lalu.

Rafliza yang bertugas sebagai juruteknik sebuah syarikat penapisan minyak di Melaka berkata, dia sedang bercuti dan tiba di kampung jam 6 petang kelmarin.
Menurutnya, dia menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan jiran kira-kira jam 5 pagi semalam.

“Saya tidak dapat meletakkan kereta di kawasan rumah keluarga saya kerana jalan masuk ke kampung kami dinaiki air sehingga paras pinggang.

“Berikutan itu, saya dan beberapa penduduk meletakkan kenderaan di tepi tebing berkenaan, kira-kira dua kilometer dari kampung kerana lokasi itu sering menjadi tempat kami meletak kenderaan ketika banjir.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Hujan lebat juga boleh mengakibatkan tanah runtuh, jadi hati-hati jika berada di kawasan berbukit......

Hujan tak jejas perkahwinan Apek-Leuniey

NUR Eilunie Natasha Nazri berinai sebagi persiapan perkahwinannya dengan Khairul Fahmi Che Mat di Taman SBJ Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 26 Dis. - Hujan lebat dan cuaca tidak menentu sejak seminggu lalu tidak mengganggu persiapan majlis perkahwinan penjaga gol bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, dan Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, Jumaat ini.

Malah, Nur Eilunie atau lebih dikenali sebagai Leuniey akan mengadakan majlis berinai di rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat malam ini.

Ibu Leuniey, Nor Laila Abu Bakar, 40, ketika dihubungi di sini berkata, setakat ini, semua perancangan berjalan lancar dengan hampir 100 peratus persiapan perkahwinan telah dilakukan.

"Setakat ini, tiada masalah. Rumah kami tidak terlibat banjir. Cuma hujan lebat menyebabkan ada kawasan rumah yang berlopak atau bertakung air.

Sumber: Utusan

KOMEN: Semoga berbahagia.........

Banjir terburuk sejak 45 tahun

Idris Jusoh (tiga dari kiri) mengetuai Program Gotong-Royong menyembur air paip bomba bagi membersihkan kawasan masjid di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, Terengganu, semalam.


BESUT 26 Dis. - Penduduk Kampung Padang Bual dekat sini menyifatkan banjir yang melanda kampung mereka kali ini adalah yang paling buruk sejak 45 tahun lalu.

Paras air yang naik mendadak menyebabkan ramai penduduk terpaksa meninggalkan rumah sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri dan keluarga apatah lagi setelah dimaklumkan bahawa empangan Paya Peda yang terletak kira-kira enam kilometer dari kampung mereka pecah.

Seorang penduduk, Ghazali Idris, 59, berkata, hujan lebat sejak awal pagi kelmarin menyebabkan paras air yang berlumpur mula naik pada pukul 4 petang dan dua jam kemudian meningkat dengan mendadak sehingga mencemaskan dia dan keluarganya.

Sumber: Utusan

KOMEN: Jangan memain air banjir, bahaya....

Jambatan P. Pinang siap awal

PENGARAH Urusan Jambatan Kedua Sdn. Bhd., Datuk Prof. Dr. Ismail Mohammed Taib (hadapan sekali) mengetuai kakitangannya bergambar selepas menyiapkan kerja-kerja pembinaan kekotak konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pembinaan jambatan terpanjang di Asia Tenggara, Jambatan Kedua Pulau Pinang dijangka mampu siap lebih awal daripada jadual asalnya, September tahun depan.

Sasaran itu diyakini mampu dicapai kerana kontraktor, UEM Builders Bhd. berjaya menyiapkan kerja-kerja pembinaan kekotak konkrit pra-tuang bagi jambatan itu 100 hari lebih awal daripada jadual asal.

Jambatan kedua berharga RM4.5 bilion sejauh 24 kilometer (km) itu dibina bersama oleh UEM Builders Bhd. (Bahagian kejuruteraan dan pembinaan UEM Group) dan China Harbour Engineering Co. Ltd. (CHEC) mulai 2008 dan dijangka siap sepenuhnya September 2013.

Sumber: Utusan

KOMEN: Usaha tangga kejayaan........

Tukang rumah nyaris maut

Seorang pemuda Khairi Said, 27, yang sedang menunggang motosikal mengalami detik cemas apabila nyaris dihanyutkan arus deras ketika melalui Jalan Permaisuri-Penarik di Kampung Tasik, Besut, semalam. Beliau yang bertekad meredah banjir untuk ke tempat kerja gagal mengawal motosikalnya, lalu dihanyutkan arus deras di kawasan sawah terbiar berhampiran Sungai Setiu. Kejadian berlaku sungguh pantas dan orang ramai yang berada di kawasan itu yang menyedari kejadian tersebut turut membantu mangsa.


SETIU 25 Dis. - Seorang tukang rumah yang bertekad meredah banjir untuk ke tempat kerja dengan bermotosikal hari ini nyaris maut setelah dihanyutkan arus deras ketika sedang melintas di Jalan Permaisuri, Penarik, di sini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.36 pagi tadi ketika Khairi Said, 27, melintas di sebatang jalan di Kampung Tasik untuk ke tempat kerja di Kampung Bari dekat sini.

Pada mulanya beliau memberanikan diri menunggang motosikalnya jenis Honda EX5 meredah banjir di kawasan yang ketika itu air limpahannya mencecah sedalam 0.5 meter.

“Saya cuba melintas laluan itu kerana itu merupakan laluan utama saya untuk ke tempat kerja namun saya tergelincir dan gagal mengawal motosikal sebelum terjatuh ke dalam air banjir.

“Tempat yang saya lalui ketika itu rupanya kawasan air arus deras dan saya tidak sempat berpatah balik dan tergelincir sebelum dibawa arus ke sawah padi berhampiran yang airnya sedalam 1.5 meter," katanya semasa menceritakan detik cemas itu kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun, pemuda yang berasal dari Kampung Pak Kancil, dekat sini bernasib baik apabila beliau sempat berpaut pada sebatang pokok besar di kawasan berhampiran sebelum diselamatkan oleh penduduk kampung yang kebetulan berada di tempat kejadian.



Sumber: Utusan

KOMEN: Berhati-hati semasa banjir.......

Lebih 13,000 mangsa banjir di Pantai Timur

Antara mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan. FOTO Halim Mat Ali


KUALA LUMPUR: Terdapat lebih 13,000 mangsa banjir yang ditempatkan di lebih 150 pusat pemindahan di Kelantan, Terengganu dan Pahang, menurut portal banjir Majlis Keselamatan negara, pagi ini.

Semakan portal itu pada jam 8 pagi tadi menunjukkan sejumlah 13,589 mangsa banjir ditempatkan di 178 pusat pemindahan di negeri-negeri itu.

Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 7,921 mangsa banjir yang dipindahkan ke 126 pusat pemindahan.

Di Kelantan pula, sejumlah 3,2983 mangsa banjir dipindahkan ke 37 pusat pemindahan manakala 2,375 mangsa dipindahkan ke 15 pusat pemindahan di Pahang.

Sementara itu, seorang surirumah yang mengikut suaminya memukat menjadi mangsa pertama banjir di Terengganu apabila dia terjerlus ke dalam Sungai Lanjut, di Hulu Seladang, dekat Bandar Permaisuri, di sini, semalam.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Jangan biarkan anak anda bermain banjir......... Awasi mereka selalu...

Sektor komoditi dijangka tidak menentu 2013

Harga minyak sawit mentah turun ke paras paling rendah dalam tempoh tiga tahun pada pertengahan Disember disebabkan paras simpanan yang tinggi. - Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR 20 Dis. - Sektor komoditi dijangka berhadapan ketidaktentuan berikutan faktor seperti simpanan minyak sawit yang tinggi dan perkembangan di dalam ekonomi global yang mempengaruhi harga dan sentimen.

Para penganalisis dan pedagang mempunyai pandangan bercampur-campur mengenai bagaimana harga akan bergerak pada tahun depan kerana ekonomi utama di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka memberi kesan pada pasaran komoditi.

Seorang penganalisis berkata, walaupun keadaan yang buruk disebabkan krisis hutang di Eropah sudah berlalu, masih wujud kebimbangan mengenai bagaimana Eropah dapat melaksanakan langkah berkesan memulihkan ekonomi.

Bank Pusat Eropah memberi amaran tentang pertumbuhan ekonomi yang suram bagi 17 negara Kesatuan Eropah (EU) di dalam zon euro pada tahun depan.

Di AS, para pembuat dasar bergelut mencapai persetujuan bagi menyelesaikan masalah fiskal.

Penganalisis Kenanga Research, Alan Lim Seong Chun mengunjurkan bahawa harga fizikal minyak sawit mentah (MSM) akan kekal hampir tidak berubah pada tahun depan.

"Ia dijangka bergerak sekitar purata harga RM2,850 setan metrik berbanding kira-kira RM2,900 pada 2012.

"Kebimbangan utama kini ialah sama ada paras simpanan semasa yang tinggi boleh dikurangkan," katanya hari ini.

Simpanan MSM mencecah paras tertinggi 2.56 juta tan metrik pada November.

Seorang penganalisis perladangan yang lain menjangka harga MSM berada pada purata RM3,050 setan metrik pada tahun depan berbanding RM2,800 pada 2012, yang akan dipacu kebanyakannya oleh pemulihan ekonomi global.

Harga MSM turun ke paras paling rendah dalam tempoh tiga tahun pada pertengahan Disember disebabkan paras simpanan paling tinggi itu.

Di segi tinjauan pasaran getah Malaysia, seorang peniaga berkata harganya dijangka bergerak pada jajaran sempit pada tahun depan, dengan menerima kesan faktor luaran seperti masalah ekonomi zon euro dan ekonomi AS.

Para pemain industri berkata, Malaysia, satu pengeluar utama sarung tangan getah dan kondom, akan terus meningkatkan eksport getah kerana krisis kewangan di Eropah dan kemelesetan dalam ekonomi AS akan memberi kesan kecil pada permintaan bagi mendapatkan kondom dan sarung tangan perubatan.

Bagi koko, para pemain industri itu menjangka harga mengukuh pada tahun depan berikutan kurang bekalan selepas krisis kewangan Eropah telah mengurangkan kapasiti mengisar dari rantau itu.

Eksport koko Malaysia lebih RM4.2 bilion dijangka dikekalkan pada tahun ini walau pun berlaku kemelesetan di segi pengeluaran koko, kata mereka.

Sumber: Utusan

KOMEN: Terimalah semua dugaan tuhan........

4 kali gugur zuriat haram

ADU...Ros menunjukkan salinan aduan yang dibuat di Jais, semalam.



SHAH ALAM: Tidak mahu terus bergelumang dengan dosa, seorang ibu tunggal tiga anak yang menjadi wanita simpanan seorang pegawai kerajaan selama hampir 11 tahun, rela berdepan hukuman apabila menyerah diri di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), di sini, kelmarin.

Wanita berusia 40-an itu mengaku sudah empat kali menggugurkan kandungan hasil hubungan haram itu, namun kini insaf selepas menyedari kekasih gelapnya itu hanya menjadikannya alat pemuas nafsu.

Malah, dia yang mahu dikenali sebagai Ros berkata, lelaki itu sering memukulnya hingga hidungnya patah akibat dipijak dan wangnya juga dikikis sehingga puluhan ribu ringgit termasuk untuk membeli kereta.

Menurut Ros, penyesalannya semakin mendalam selepas anak lelaki yang berusia 10 tahun mengetahui perhubungan terlarangnya itu dan menasihatkannya meninggalkan lelaki terbabit.

“Tambahan pula, kini lelaki itu sudah meninggalkan saya dan menjalin hubungan dengan perempuan lain. Jadi, terbukti dia bukan mahu menjadikan saya isteri keduanya seperti dijanjikan.

 Sumber: Harian Metro

KOMEN: Bertaubat sebelum terlambat.....

Lori lekat di dinding

MELEKAT...bahagian hadapan lori remuk selepas merempuh dinding rumah.



KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas berusia 70 tahun bersama lima cucunya nyaris maut apabila rumah mereka di Kampung Teluk Menara, Manir, di sini, hampir runtuh akibat dirempuh lori yang sebelum itu berlanggar dengan kereta Proton Persona, semalam.

Ibrahim Mat Zain, 70, berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, rempuhan lori berkenaan menyebabkan rumah bergegar serta beberapa struktur retak manakala almari pakaian terbalik.

“Bunyi rempuhan itu sangat kuat seperti letupan bom.

“Saya yang menyangka gempa bumi segera mengarahkan lima cucu berusia antara dua hingga 18 tahun keluar menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, sebaik keluar, kami terkejut melihat lori sarat membawa muatan pasir melekat pada dinding rumah,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Alhamdulillah, semuanya terselamat.....

Budak diseret 10km

REMUK...Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Radzy Rasul melihat kereta mangsa yang terbabit kemalangan.


NIBONG TEBAL: Seluruh badannya hancur hingga menampakkan tulang, manakala kepalanya pula berkecai dan hanya meninggalkan cebisan rambut.

Begitu keadaan mayat seorang kanak-kanak, Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Salam, 3, yang diseret sejauh 10 kilometer oleh sebuah kenderaan selepas dia tercampak keluar dari kereta dinaikinya bersama keluarga yang terbabas kerana mengelak bangkai haiwan di atas jalan.

Lebih memilukan apabila mayat mangsa hanya ditemui tiga jam selepas kereta dipandu bapanya, Said Ibnu Salam G M Ismail, 47, terbabas ketika cuba mengelak bangkai anjing di Kilometer 168.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, malam kelmarin.

Mayat mangsa dalam keadaan mengerikan itu ditemui pengguna lebuh raya di tepi jalan berhampiran Hentian Sebelah Sungai Bakap, dekat sini, sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku jam 8.45 malam apabila kereta Ford Laser yang dinaiki mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Bukit Merah Lake Town Resort di Taiping, Perak menuju rumah mereka di Jalan Shaik Madar, Ayer Itam, Georgetown, dekat sini.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Malang tidak berbau....

Episod hitam tidak ganggu Najihah

Najihah Mohd. Natri menunjukkan slip keputusan PMR kepada Zaharah Mohd. Ariffin dan Mohd. Ariffin Mohd. Sharif di Kampung Atta Duri, Langkap dekat Teluk Intan, Perak, semalam.


TELUK INTAN 19 Dis. - Remaja ini pernah melalui episod paling hitam dalam hidupnya apabila menjadi mangsa amukan bapa sendiri sehingga tiga jari tangan kanannya putus, manakala ibunya pula mati ditetak pada 2010.

Tragedi menyayat hati yang berlaku pada bulan Ramadan itu bukan sahaja menyebabkan dia kehilangan ibunya, Khairul Bariah Mohd. Ariffin, 36, malah bapanya Mohd. Natri Shaharudin, 39, ditembak polis.

Namun, selepas tiga tahun berlalu, Najihah, 15, membuktikan peristiwa memilukan itu bukan halangan untuk membina masa depan dan berjaya dalam pelajaran.

Ini terbukti apabila remaja itu menjadi antara pelajar cemerlang di negeri ini dengan memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sumber: Utusan

KOMEN: Usaha tangga kejayaan...

Tanaman padi bakal terjejas teruk

SEORANG pesawah menunjukkan kesan kemusnahan terhadap tanaman padi yang terpaksa ditanggungnya akibat banjir di Jitra, Kedah. - Gambar hiasan


PENDEDAHAN Utusan Malaysia semalam mengenai keputusan ujian makmal terhadap kekeruhan sungai di Kedah akibat pembalakan dan disokong pula oleh pakar dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan kebimbangan terhadap ancaman bencana alam di negeri itu.

Pembalakan secara tidak terkawal di Kedah itu tidak sepatutnya berlaku kerana setiap operasi penebangan hutan di kawasan tadahan dan tanah tinggi hanya boleh dilakukan selepas mendapat laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) terlebih dahulu.

Namun, semua prosedur tersebut tidak dituruti menyebabkan Kedah kini bukan sahaja berdepan ancaman bencana alam dalam skala yang besar, tetapi dijangka bakal berdepan dengan masalah kemerosotan hasil pengeluaran padi untuk tempoh jangka panjang.

Kebimbangan mengenai kesan-kesan negatif hasil kerakusan pembalakan dan ditambah pula dengan kegiatan perlombongan dan korek pasir bukan lagi omong kosong kerana Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sendiri melahirkan kebimbangan.

Ikuti Siri 2 laporan khas hasil penyiasatan wartawan MOHD. ASRON MUSTAPHA dan jurugambar HALIM KHALID yang memberi fokus kepada kesan pembalakan terhadap tanaman padi dan pencemaran sungai yang menjadi sumber air minuman.

Sumber: Utusan

KOMEN:Usaha yang terbaik...

Mati dendam tukang kebun

SIASAT...anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Natchymuthu maut.


SHAH ALAM: Perselisihan faham yang berlarutan sekian lama antara seorang ketua penduduk dengan tukang kebun sebuah pangsapuri di sini, mencapai kemuncaknya semalam apabila pemimpin masyarakat terbabit mati akibat dihentak di kepala dengan penyodok tanah.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa, K S Natchymuthu, 53, parah di kepala dan badan, namun sempat menunggang motosikal sejauh 30 meter sebelum jatuh dan meninggal dunia.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Deputi Superintendan Muhammad Idzam Jaafar berkata, mangsa ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan, Seksyen U9, di sini, yang juga pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran di antara Natchymuthu dengan tukang kebun yang berusia 43 tahun itu sebelum suspek hilang pertimbangan lalu memukul mangsa di kepala dan badan menggunakan penyodok tanah.

Beliau berkata, biarpun parah mangsa masih sempat melarikan diri menaiki motosikal, namun rebah berhampiran pondok pengawal keselamatan 30 meter dari tempat dia dipukul.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Malang tidak berbau....

Jaja foto kaut RM500,000

BUKTI...Azri menunjukkan laporan polis dan gambar suspek.


JOHOR BAHRU: Dengan hanya bermodalkan gambar seekor cicak tokek milik orang lain, seorang penganggur dengan mudah mengaut lebih setengah juta ringgit selepas menipu beberapa individu termasuk penghidap HIV dari luar negara yang mahu memperoleh haiwan berkenaan, kononnya untuk tujuan perubatan.

Lebih malang, lelaki berusia 26 tahun itu turut menyamar sebagai anak bongsu pemilik cicak tokek berkenan, menjaja gambar keluarga warga emas itu, menyebabkan hidup keluarga terbabit kini tertekan kerana disalah anggap sebagai penipu.

Pemilik sebenar cicak tokek itu yang mahu dikenali sebagai Manaf, 70, berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas beberapa mangsa penipuan lelaki itu menghubungi dan datang berjumpanya.

Manaf berkata, keluarganya mengenali suspek dikenali sebagai Zaid itu sejak September tahun lalu apabila dia datang ke rumahnya bersama seorang kenalan keluarga. “Saya sebenarnya berasal dari Singapura tapi kini menetap di Skudai. Sejak berkenalan dengan Zaid, empat kali dia datang ke rumah saya, namun sejak kali pertama datang dia begitu berminat dengan dua cicak tokek yang dipelihara keluarga saya.

“Malah, dia juga merakam gambar haiwan itu dengan alasan mahu menyimpannya sebagai kenangan dan saya tidak menghalang kerana menganggap ia perkara biasa,” katanya yang memelihara dua cicak tokek itu sejak tiga tahun lalu. Manaf berkata, kegiatan penipuan Zaid itu mula terbongkar 30 November lalu apabila seorang lelaki datang ke rumahnya dan bertanya mengapa dia masih belum menerima cicak tokek yang dijanjikan Zaid sedangkan dia sudah menyerahkan lebih RM300,000 kepada lelaki itu.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih rumit apabila suspek turut menyamar sebagai anak bongsunya, Azri, 40, yang juga seorang seorang ahli perniagaan.

“Akibatnya, lima hingga enam mangsa ditipu Zaid menelefon dan memarahi anak saya. Mereka yang tinggal Terengganu, Brunei dan Australia mendakwa sudah membayar keseluruhannya lebih RM200,000 untuk mendapatkan cicak tokek.

“Saya difahamkan sebahagian mangsa penghidap HIV kerana cicak tokek dikatakan mujarab merawat penyakit berkenaan,” katanya.

Manaf berkata, berdasarkan maklumat mangsa, suspek dikatakan melelong cicak tokek didakwa seberat 500 gram dengan harga ratusan ribu ringgit sedangkan cicak tokek peliharaannya hanya seberat empat gram. “Saya kurang pasti sama ada dia menawarkan haiwan itu menerusi laman web tetapi mangsanya terdiri penduduk tempatan dan luar negara,” katanya. Manaf berkata, anaknya bersama seorang mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, dekat sini, pada 1 Disember lalu. “Kami bimbangkan keselamatan keluarga memandangkan Zaid menjaja gambar keluarga kami ketika menipu mangsanya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Jangan mudah mempercayai orang...

Maut dipercayai didera

PILU...nenek mangsa, Mazni Che Bon, 48, (kanan) bersama saudaranya sedih menatap jenazah Muhammad Faiz Iqhmal (gambar kecil).


ALOR SETAR: “Ketika berbual melalui telefon bimbit ibunya malam tadi (kelmarin), dia memberitahu mahu pulang ke rumah kerana rindu neneknya. Tak sangka pula ia perbualan terakhir kami,” kata Norhanisha Othman, 23, ibu saudara Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, 2, yang mati dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya.

Mangsa dipercayai meninggal dunia jam 3 petang ketika berada dalam jagaan ibunya di rumah mereka di Kampung Berjaya, Mergong, dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya mendapati ada beberapa kesan kecederaan termasuk lebam di muka, bahu dan tangan mangsa.

“Polis akan menyiasat dari segala sudut termasuk kemungkinan mangsa menjadi mangsa dera hingga menyebabkan kematiannya, namun masih menunggu keputusan bedah siasat sebelum mengklasifikasikan kes,” katanya ketika dihubungi. Norhanisha berkata, kakaknya, Nurhafiza, 25, yang juga ibu mangsa menghubungi keluarganya bagi memaklumkan anaknya terjatuh dari tangga sebelum dibawa ke sebuah klinik.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Menurutnya, sebelum ini arwah pernah mengadu dipukul ibunya dan suspek yang berusia 20-an, malah terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badannya setiap kali pulang ke rumah ibunya di Flat Simpang Kuala, di sini.

Norhanisha berkata, arwah dijaga oleh ibunya, Padzilah Ismail, 46, sejak dilahirkan sehingga kini disebabkan kakaknya yang bekerja sebagai pembantu restoran sudah berpisah dengan suaminya, Iskandar Abu Bakar, 29, ketika mangsa berusia lima bulan.

“Muhammad Faiz memang tinggal dengan ibu saya, tetapi sejak beberapa bulan lalu kakak kerap membawanya pulang ke rumahnya selepas mengenali lelaki terbabit yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Malah, saya pernah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Ogos lalu selepas menemui beberapa kesan gigitan dan lebam di badan Muhammad Faiz yang dipercayai dilakukan lelaki terbabit,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini.

Padzilah pula berkata, dia terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan cucu sulungnya yang sepatutnya pulang ke rumahnya semalam, walaupun baru dua hari kanak-kanak itu tinggal bersama ibu kandungnya dan lelaki terbabit.

Menurutnya, dia sememangnya tidak merestui hubungan anaknya dengan lelaki terbabit kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya menghalang mereka berkawan rapat. Apa yang saya bimbangkan selama ini akhirnya berlaku apabila cucu saya menjadi mangsa dan meninggal dunia dipercayai akibat didera.

“Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku, tetapi pasti akan merindui arwah kerana dia seorang yang petah bercakap, aktif dan comel,” katanya. Dalam pada itu, Iskandar berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak tunggalnya itu selepas Aidilfitri lalu berikutan Muhammad Faiz dijaga keluarga bekas mentuanya.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia dan tidak menyangka perkara seumpama ini berlaku, malah langsung tidak tahu mengenai hubungan bekas isteri dengan lelaki itu. Namun, saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya dalam nada sebak.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al Ghufran, Jalan Pegawai, di sini, pagi ini.

Dalam pada itu, pekarangan luar wad kecemasan HSB kecoh apabila datuk dan ibu saudara mangsa berang terhadap suspek.

Suspek yang dilihat menaiki kerusi roda mendakwa kakinya turut patah akibat terjatuh dari tangga bersama mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran mulut dengan datuk dan ibu saudara mangsa, sebelum dileraikan polis.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Ajal maut di tangan tuhan...

Tragedi main air

SERIUS...Md Affendi (baju biru berdiri) menceritakan kejadian kepada ayah mangsa, Anuar (duduk dua dari kanan).


KUALA KEDAH: “Selepas terjun, saya sempat capai seorang saja anak saudara, tapi sedih tak dapat selamatkan dua lagi kerana arus deras,” kata Md Affendi Ismail, 27, bapa saudara kepada dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot gentian kaca dinaiki mereka di muara Sungai Kuala Kedah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua kanak-kanak iaitu Mohd Hafiz Anuar, 4, dan abangnya, Mohd Nashrik, 9, hilang selepas tercampak dari bot dinaiki mereka manakala pasangan kembar, Mohd Nashrik iaitu Mohd Ashraf, 9, sempat diselamatkan Md Affendi.

Md Affendi berkata, selepas menyelamatkan Mohd Ashraf, dia berenang sejauh 50 meter dari tempat kejadian sebelum diselamatkan rakan yang menaiki bot lain.

“Sebelum kejadian, mereka mendesak saya untuk bawa mereka bersiar-siar menaiki bot dan menunggu kepulangan saya dari laut sejak jam 8 pagi,” katanya.

Menurutnya, dia membawa tiga anak saudaranya bersiar-siar di sekitar muara berkenaan sebelum berpatah balik selepas perjalanan sejauh 500 meter berhampiran Jambatan Tok Pasai, di sini.

Md Affendi yang juga nelayan berkata, dia tidak menyangka berlaku tragedi kerana ini kali pertama dia membawa tiga bersaudara berkenaan kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendesak sehingga sanggup menunggu di rumahnya di Taman Nelayan, di sini.

“Selain membawa mereka bersiar di muara, pasangan kembar itu mendesak saya membawa mereka lebih jauh kerana memaklumkan tidak puas menaiki bot bersama.

“Sejurus sebelum kejadian, saya melihat dua anak saudara bermain air dengan meletakkan tangan dalam laut di bahagian hadapan bot, namun tidak menyangka tindakan itu mengakibatkan bot hilang keseimbangan ketika saya cuba membelok. “Akibatnya, mereka tercampak dalam laut menyebabkan saya terjun untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Md Affendi berkata, sebelum ini, mereka mendesaknya supaya membawa bersiar-siar menaiki bot di kawasan muara sungai, namun dia tidak mengendahkan kata-kata anak saudaranya itu dan mereka pulang ke rumah masing-masing tanpa menunggunya.

Katanya, dia tidak menyangka tindakannya menunaikan desakan pasangan kembar terbabit bertukar insiden memilukan memandangkan sebelum ini dia sering membawa Mohd Hafiz ke laut.

“Namun, hari ini (semalam) mereka benar-benar mendesak saya supaya membawa turun ke laut. Selalunya, mereka akan pulang jika saya tidak mengendahkan desakan mereka, tetapi kejadian hari ini (semalam) sebaliknya.

“Mereka sanggup mengejutkan saya daripada tidur, petang tadi (semalam) bagi menunaikan permintaan itu, namun perkara tidak diingini pula berlaku,” katanya.

Bapa dua beradik terbabit, Anuar Ismail, 31, terpaksa ditenangkan ahli keluarga selepas sukar menerima hakikat dan menyalahkan Md Affendi di atas apa yang berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Izham Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung pada jam 5.07 petang sebelum melaksanakan gerakan mencari dan menyelamat serta-merta.

“Setakat ini, kami melakukan operasi mencari di permukaan air saja sementara menunggu Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani. Operasi mencari dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di samping beberapa bot nelayan,” katanya.

Menurutnya, setakat jam 8 malam tadi, kedua-dua mangsa masih gagal dikesan.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Malang tidak berbau....

Serbegeth cadang Kim Swee

WAN ZACK...antara pemain yang digilap Kim Swee


BEKAS pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh berpendapat sudah tiba masanya tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya diserahkan kepada Ong Kim Swee berikutan kegagalan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012.

Menurut Serbegeth atau turut dikenali dengan panggilan Shebbie, pandangan disuarakan itu bukan hanya berasaskan kepada kegagalan di Piala AFF baru-baru ini, sebaliknya ia mengambil kira prestasi skuad negara yang merosot selepas bergelar juara rantau Asia Tenggara dua tahun lalu.

Bagi Penasihat Global kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers itu, skuad kebangsaan sepatutnya meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi namun ia sebaliknya berlaku di bawah pimpinan Rajagobal.

“Selepas kita menjuarai Piala AFF, kita masih lagi dalam era eksperimen pemain, sepatutnya kita sudah melangkah ke satu tahap lagi, tapi sebaliknya kita seperti masih ‘meraba-raba’.

“Kita melakukan eksperimen dengan mengharapkan kita boleh berada di kemuncak prestasi dua tahun kemudian. Untuk maju ke depan, kita harus memiliki jurulatih yang boleh meningkatkan prestasi pasukan yang kita miliki sekarang dan bukannya membentuk pasukan baru.

“Jangan fikir pandangan saya ini satu kritikan, sebaliknya ia satu persoalan yang harus kita bincangkan bersama, adakah Rajagobal mampu meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih kebangsaan?” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Shebbie yang kini berada di London mengakui tidak boleh memberi ulasan terperinci mengenai permainan skuad kebangsaan dalam kejohanan AFF kali ini kerana hanya melihat sebahagian aksi menerusi YouTube.

Namun berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh dua tahun selepas Malaysia menjadi juara kali pertama Piala AFF, skuad kebangsaan berada dalam era kemerosotan selepas gagal melayakkan diri dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014, kejatuhan ranking negara berikutan beberapa aksi buruk dalam aksi persahabatan antarabangsa yang dianggap tidak penting oleh Rajagobal.

Rajagobal, 56, dianggap jurulatih tempatan paling berjaya apabila membimbing skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 serta Piala AFF 2010 di Jakarta dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2.

Biarpun menyaksikan anak buahnya tersingkir di peringkat separuh akhir menerusi agregat 3-1 di tangan Thailand pada kejohanan Piala AFF Khamis lalu, Rajagobal masih mahu meneruskan misi utamanya iaitu kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari depan.

Manakala Kim Swee yang terkenal dengan kepakarannya menggilap pemain muda seperti Mohd Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbart pula menggalas misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun depan selepas kejayaan di Jakarta tahun lalu.

“Dua masalah timbul jika Rajagobal terus menjadi jurulatih iaitu adakah pemain percaya dengan kemampuannya serta tekanan daripada penyokong sendiri,” jelas Shebbie.

Ketika ditanya kenapa jurulatih Harimau Muda A, Kim Swee yang menjadi pilihannya, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata: “Sudah tiba masanya untuk Kim Swee diberikan tanggung jawab lebih besar. Kita kena tahu, kejayaan bola sepak negara berasaskan kepada sistem pembangunan bola sepak di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Kim Swee cukup arif dengan sistem ini kerana beliau membimbing Harimau Muda A yang memiliki ramai pemain yang bagus. Jika beliau diberi peluang, beliau boleh menggabungkan dua pemain dari dua generasi iaitu generasi pemain Rajagobal dan generasi pemain Harimau Muda A yang ada sekarang. Dengan dua generasi ini kita boleh memiliki satu pasukan yang mantap. Tapi masalahnya siapa yang boleh menggantikan tempat Kim Swee bersama Harimau Muda? Bagaimanapun, Shebbie mengingatkan agar sumbangan dan kepakaran yang dimiliki Rajagobal tidak boleh diketepikan begitu saja.

“Rajagobal banyak berjasa kerana sudah membawa kita ke satu tahap baru, mungkin beliau boleh dilantik menjadi penasihat teknikal untuk melihat keseluruhan sistem termasuk skuad belia. Kerana beliau juga pernah membimbing skuad belia sebelum ini,” jelasnya.



Sumber: Harian Metro

KOMEN: Fikirlah yang terbaik untuk Malaysia...

Lima jam tergantung

TERSELAMAT...Chun yang cedera di muka, badan dan terseliuh kaki dibawa keluar anggota JPAM.


AMPANG: Selepas lima jam tergantung pada tali, seorang lelaki yang terjatuh ke dalam gaung terselamat daripada maut apabila diselamatkan seorang pendaki profesional ketika mangsa mendaki Bukit Tabur, Taman Melawati, di sini, bersama lima rakannya, pagi semalam.

Kira-kira jam 9 pagi, iaitu dua jam selepas mereka mula mendaki, Chun Wing Sing, 28, terjatuh ke dalam gaung dan tersangkut pada tumbuhan, tetapi tidak boleh mendaki semula.

Rakannya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak membawa peralatan mendaki secukupnya, namun mangsa bernasib baik kerana seorang pendaki profesional kebetulan melalui laluan itu dan mencampakkan tali ke bawah untuk dipaut Chun bagi mengelaknya terus jatuh ke dalam gaung.

Sumber berkata, mangsa berpaut pada tali berkenaan selama hampir lima jam sebelum sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba dengan peralatan mendaki, menyelamatkannya.

“Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari bukit berkenaan kira-kira jam 3 petang,” katanya.

Difahamkan, Chun yang cedera di muka, badan dan terseliuh kaki kanan, dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.43 pagi dan tiba di lokasi 40 minit kemudian.

Menurutnya, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dihantar ke lokasi kejadian dengan kekuatan lima pegawai dan anggota bomba bagi membantu menyelamatkan mangsa.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Malang tidak berbau.....

Minta air sebelum kelar

USUNG...mayat Mantang dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.


MIRI: “Apa yang saya bimbang akhirnya berlaku,” kata Senab Saing, 26, isteri pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia yang mati akibat dikelar di leher dengan sebilah pisau buatan sendiri oleh sepupunya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 awal pagi di rumah pekerja ladang kelapa sawit di Bakong itu, Mantang Sakara, 33, berasal dari Makasar, Indonesia mati di tempat kejadian akibat parah di leher dan dahi selepas dikelar suspek yang dipercayai mengalami gangguan mental.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa memberikan segelas air yang diminta lelaki berusia 20-an itu ketika dia terjaga daripada tidur.

Bagaimanapun, ibarat bom jangka, sepupu Mantang itu tiba-tiba bertindak agresif menyerangnya sebelum mengelar leher mangsa menggunakan pisau buatan sendiri.

Menurut Senab, dia terjaga dari tidur selepas terdengar suaminya menjerit meminta tolong dan terkejut apabila melihat Mantang berlumuran darah terbaring mengerang kesakitan.

Katanya, ketika itu dia melihat suspek memegang pisau dan cuba merampasnya namun gagal, malah menyebabkannya hampir menerima nasib sama apabila diserang suspek sebelum lelaki itu melarikan diri.

“Ketika itu, saya melihat suami yang berlumuran darah mengerang kesakitan serta memegang lehernya yang cedera sebelum rebah ke lantai.

“Usaha saya untuk menghalang pendarahan pada leher suami dengan sehelai tuala gagal sebelum dia tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Miri, semalam.

Katanya, sebelum kejadian, suspek yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran bertandang ke rumahnya petang kelmarin dan menyatakan hasrat untuk bermalam di situ.

“Ketika itu, saya benar-benar bimbang dan menyuarakan perkara itu kepada suami selepas melihat perangai pelik sepupunya yang sering bercakap seorang diri namun tidak dihiraukan suami.

“Malah, saya dan suami serta anak perempuan berusia tiga tahun tidur di luar kerana bilik tidur kami dikunci lelaki itu dari dalam beberapa jam sebelum kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika mengesahkan kejadian itu berkata, gerakan mencari suspek dilakukan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Segera mengambil tindakan sekiranya ahli keluarga kita didapati mengalami simpton gangguan mental....

Tarik, jual, tarik

BUKTI...gambar orang yang dicederakan.


KUALA LUMPUR: Tarik, jual dan rampas semula. Itu kaedah digunakan satu sindiket dianggotai kumpulan penarik kereta untuk menganiayai orang ramai dengan menjual kereta mewah seperti BMW, Mercedes, Nissan Skyline dan Toyota Harrier dengan harga serendah RM40,000 hingga RM150,000.

Mangsa terlebih dulu dibawa melihat barisan kereta mewah berkenaan tanpa mengetahui ia kenderaan yang ditarik daripada pemilik asal selepas gagal menjelaskan bayaran ansuran dan nombor pendaftaran serta dokumennya sudah dipalsukan.

Kebiasaannya, mangsa termasuk pembeli kereta terpakai membuat bayaran secara tunai, namun selang seminggu kemudian, muncul pula individu lain daripada sindiket sama yang memaksa mangsa memulangkan semula kenderaan berkenaan dengan alasan ada masalah dokumentasi.

Sekiranya mangsa enggan bekerjasama anggota sindiket terbabit menggunakan kekerasan termasuk mengurung dan memukul mangsa sehingga ada yang parah.

Kegiatan itu didedahkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan isu pengguna, Mukmin Reach Out Management (MROM) yang berpejabat di Langkawi.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Jangan mudah percaya sesuatu, sebelum membuat penyemakkan teliti....



Keldai akaun terjerat

BUKTI...Izany (dua dari kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas.


KUALA LUMPUR: Seorang wanita tempatan yang mahu mengeluarkan wang tunai berjumlah RM30,000 dipercayai hasil kegiatan penipuan sindiket African Scam di sebuah bank di sini dicekup sebelum hasil soal siasat, polis menahan pula 17 lelaki warga Nigeria dan seorang wanita warga Thailand.

Sindiket terbabit dipercayai mendalangi kes penipuan melalui laman sosial yang menyasarkan lelaki dan wanita dengan menggunakan gambar individu kacak dan cantik sebagai umpan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani berkata, sindiket terbabit yang didalangi lelaki Nigeria dengan masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar sudah mengaut keuntungan hampir RM400,000 melalui penipuan terbabit.

“Dalam empat operasi berbeza pada 4 dan 5 Disember lalu, seramai 19 individu berusia 22 hingga 44 tahun masing-masing seorang wanita tempatan, wanita Thailand dan 17 lelaki Nigeria ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Kami menahan seorang wanita di sebuah bank di Taman Maluri ketika mahu mengeluarkan baki wang sebanyak RM30,000 daripada akaun syarikat miliknya,” katanya ketika sidang media di IPD Cheras, semalam.

Sumber: Harian Metro

KOMEN: Berhati-hati dengan penipuan melalui laman sosial....

Bola gergasi bahtera ‘kiamat’

BOLA GERGASI...Liu membina ‘Bahtera Noh’ dilengkapi pelbagai keperluan.


BEIJING: Berdasarkan kalendar Mayan, kiamat akan berlaku 10 hari lagi.

Berikutan itu, sesetengah pihak yang percaya kepada ramalan itu cuba mencari jalan untuk menghadapi bencana berkenaan. Seorang petani di China percaya, dia mampu menghadapi sebarang malapetaka selepas membina tujuh ‘bola gergasi’ yang mampu menyelamatkannya dalam keadaan darurat. Liu Qiyuan menyiapkan alat itu yang digelar ‘Bahtera Noh’ menggunakan gentian kaca selepas mendapat ilham daripada filem Hollywood, 2012.

Kata Liu, dia membina Bahtera Noh itu di halaman rumahnya di Qiantun, Hebei menggunakan rangka besi.

“Alat ini boleh dijadikan tempat berlindung ketika berlaku bencana alam seperti tsunami atau taufan,” katanya.

Liu mencipta Kapal Noh itu supaya boleh terapung di atas air serta dilengkapi pendayung. Turut dipasang, pelbagai bentuk tangki oksigen, tali keledar serta ruang yang mencukupi untuk 14 orang.

Kata Liu, Kapal Noh itu dibina dengan teliti supaya kedudukannya stabil ketika terapung di atas air. “Saya harap ciptaan ini dipelajari pihak yang berkenaan, termasuk jabatan kerajaan serta pertubuhan antarabangsa supaya boleh digunakan ketika sesuatu tempat dilanda tsunami atau gempa bumi,” katanya. Walaupun boleh terapung, ciptaan Liu itu agak berat dan empat lelaki dewasa diperlukan untuk menggerakkannya.

Awal tahun ini, seorang ahli perniagaan China, Yang Zongfu mendedahkan alat keselamatannya bagi menghadapi bencana alam bernilai hampir RM740,000.

Menurut Yang, alat bulat berwarna oren itu mempunyai ‘simpanan dan penyambung hidup’ mencukupi untuk satu keluarga tiga orang selama 10 bulan. - DM

Sumber: Harian Metro