RM25,000 untuk tidur bersama Lei ...



BEIJING: Inilah wanita yang dirakam mengadakan seks dengan pegawai Parti Komunis China dalam video yang tersebar di Internet sehingga menggemparkan seluruh negara itu.
Lei Zhengfu, ketua parti peringkat daerah di Chongqing, bandar di barat daya China, dipecat selepas video itu tersebar awal bulan ini.

Wanita itu mulanya didakwa perempuan simpanan Lei. Bagaimanapun, laporan terbaru berkata, dia sebenarnya pelacur yang diupah oleh sebuah syarikat pembinaan bagi mendapatkan kontrak daripada pegawai terbabit.

Zhao Hongxia yang berusia 18 tahun ketika video itu dirakam pada 2007, menulis dalam blognya bahawa dia dibayar RM25,000 untuk tidur bersama Lei.

Katanya, wang berkenaan digunakan untuk membayar bil perubatan bapanya.

Zhao yang kini berusaia 23 tahun dan sudah menjadi jururawat berkata, dia ditawarkan wang itu oleh ketua sebuah syarikat hartanah.

“Dia berterus terang, bertanya sama ada saya mahu jadi pelacur, melayani pegawai kerajaan yang mempunyai hubungan perniagaan dengannya,” kata Zhao.

Video itu mencetuskan satu lagi skandal dalam Parti Komunis di bandar yang sebelum ini diketuai oleh Bo Xilai, ahli politik yang dipecat sebelum ini.

Bagaimanapun, ia mungkin hanya satu permulaan apabila seorang bekas wartawan berkata, dia mungkin mendedahkan video serupa membabitkan lebih ramai pegawai bandar raya itu sedikit masa lagi.

Parti itu sebelum ini berdepan dengan skandal yang menyebabkan pemecatan Bo dan memburukkan lagi reputasi parti di mata orang ramai.

Chongqing, bandar raya yang diketuainya, digambarkan oleh pendakwa raya dan media sebagai penuh dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Isteri Bo didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan Britain sementara dia sendiri berdepan dengan tuduhan rasuah serta menghalang keadilan dalam kes pembunuhan itu.

Berita mengenai video seks itu yang dipercayai dirakam pada 2007 hanya tersebar bulan ini ketika barisan pemimpin baru China meningkatkan usaha memerangi rasuah.

Video itu tersebar di Internet negara itu pada 20 November selepas imej rakaman itu dimuatnaikkan oleh bekas wartawan, Zhu Ruifen menerusi laman webnya yang didaftarkan di Hong Kong.

Video berkenaan yang dirakam secara sulit dari meja sebelah katil menunjukkan Lei mengadakan seks dengan wanita itu.

Zhu memberitahu wartawan bahawa Zhao, yang wajahnya tidak kelihatan dalam gambar yang dipetik daripada video itu, diupah oleh sebuah syarikat pembinaan untuk tidur dengan Lei sebagai balasan memperoleh kontrak.

Syarikat itu kemudian cuba menggunakan video itu untuk memeras lebih banyak kontrak daripada Lei.

Zhu berkata, dia memperoleh video itu daripada petugas Biro Keselamatan Awam Chongqing yang tidak mahu dikenali.

Menurutnya, dia juga diberikan video serupa membabitkan lima pegawai bandar raya itu yang lain tetapi kini berusaha mengesahkan kandungannya sebelum mendedahkannya kepada umum. - DT sumber

KOMEN : dahsyat tu RM25,000 !!!

Terbantut curi haiwan

MAHAL...Chung bersama kucing baka benggal yang nyaris dicuri dalam kejadian pecah kedainya.


IPOH: Cubaan tiga lelaki melarikan beberapa ekor kucing, arnab dan anak beruk dari sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di sini, awal pagi kelmarin, terbantut apabila usaha mereka digagalkan polis.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, tiga lelaki berusia 17 hingga 28 tahun dikesan menceroboh premis berkenaan di Gunung Rapat sebelum disedari orang ramai.

Ketiga-tiga suspek dicekup ketika membawa bersama masing-masing seekor kucing bengal dan kucing siam selain beberapa ekor arnab dan seekor anak beruk bernilai lebih RM3,000.

Polis turut merampas beberapa barangan berharga lain termasuk wang tunai RM300, sebuah komputer riba, dua tabung duit, dua beg makanan kucing seberat 1.5 kilogram dan dua sangkar kucing yang dilarikan dari premis berkenaan.

Pemilik premis, Chung Weng Kee, 45, ketika ditemui berkata, dia menerima maklumat kejadian itu selepas dimaklumkan rakan yang tinggal berhampiran premisnya.

Beliau berkata, sejurus tiba, dia terus menghubungi polis sebelum ketiga-tiga suspek berjaya diberkas tidak jauh dari premisnya.

“Sebaik memeriksa di dalam premis, beberapa haiwan didapati hilang dari sangkar pameran sebelum mendapati siling premis pecah dipercayai dilakukan suspek untuk menyusup masuk ke premis ini.

“Ia kejadian samun pertama di premis ini sejak saya menjalankan perniagaan ini 14 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, seorang suspek pernah datang ke premisnya Isnin lalu sebelum membeli seekor arnab bernilai RM60.

Chung berkata, sebelum ini, ada beberapa kes pecah kedai di kawasan ini namun ia hanya membabitkan kecurian wang tunai namun kali ini berbeza kerana pencuri mensasarkan haiwan peliharaan yang bernilai tinggi di pasaran.

Saksi kejadian, Frankie Chin, 36, berkata, dia dikejutkan dengan bunyi bising anjingnya yang menyalak kuat sebelum melihat beberapa suspek memasuki premis menerusi siling.

“Saya terus menghubungi pemilik premis dan polis bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Anuar Osman ketika dihubungi berkata, kejayaan itu hasil kerjasama orang awam yang melaporkan kepada polis selepas melihat kejadian.

“Ketiga-tiga suspek berasal dari Ipoh dan mereka akan direman sehingga esok (hari ini),” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Jika kita berbuat baik pada orang sekeliling, sekiranya kita hadapi masalah, merekalah yang membantu...

Kepala disyaki dimakan biawak

SIASAT...Rowell (tengah) ketika berjumpa ibu mangsa, Samsimar.


SANDAKAN: Kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan hilang pada 10 November lalu ketika menghadiri majlis perkahwinan ibu saudaranya di Kampung Garinono, Batu 25, dekat sini, ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila badannya terputus dua dan hampir reput dipercayai angkara binatang buas.

Difahamkan, mayat mangsa, Haziq Hassan, ditemui jam 4 petang kelmarin, tiga kilometer dari rumah ibu saudaranya oleh seorang juruukur.

Hanya bahagian pinggang dan kaki yang ditemui, manakala bahagian atas termasuk badan dan kepalanya gagal ditemui dipercayai dimakan biawak.

Saksi yang melakukan kerja mengukur tanah terkejut melihat sepasang kaki manusia sebelum menghubungi polis memaklumkan perkara itu.


Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan mayat mangsa ditemui berhampiran kolam di ladang berkenaan.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Selalulah memerhatikan anak kita, jangan cuai...




Mayat bayi dijumpai atas tilam

Anggota polis mengusung mayat bayi yang ditemui mati di atas tilam di Jalan Meru, Klang, semalam.


KLANG 15 Nov. - Rahsia seorang gadis berusia 24 tahun mengandung anak luar nikah terbongkar apabila dia melahirkan bayi seorang diri di dalam bilik di rumahnya di Lorong Haji Salleh, Batu Lima Jalan Meru dekat sini semalam.

Perkara tersebut hanya diketahui apabila kakaknya yang berusia 27 tahun terjumpa seorang bayi lelaki yang tidak bernyawa di atas tilam dalam bilik gadis itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, laporan polis dibuat oleh kakak gadis terbabit dan bayi lelaki cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira pukul 4 petang.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai pakaian di pekan Meru dipercayai menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki warga Bangladesh sejak awal tahun ini.

Sumber Utusan

KOMEN: Bayi itu tidak salah, kenapa masih banyak lagi perbuatan sedemikian.....

Nenek, cucu antara tiga terbunuh

KEMALANGAN melibatkan tiga kenderaan hingga mengakibatkan dua terbunuh di Jalan Pagoh-Labis berdekatan IKBN Pagoh di Pagoh, Johor, semalam.


MUAR 11 Nov. - Seorang nenek dan cucu perempuannya adalah antara tiga yang terbunuh dalam kemalangan yang berlaku di dua lokasi di daerah ini hari ini.

Dalam nahas yang berlaku di Jalan Pagoh-Labis berdekatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh pukul 4.45 petang ini, seorang nenek yang dikenali sebagai Norshira, 52, dan cucunya, Norafifah Aliah Ridzuan, 10 bulan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

Kedua-dua mangsa dikatakan tersepit di tempat duduk mereka selepas kereta jenis Kia Spectra dinaiki bersama suami Norshira dan anak perempuannya remuk teruk.

Menurut jurucakap polis, suami Norshira dan anak perempuannya bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Sumber Utusan

KOMEN: Berhati-hati dijalan raya....

Wanita reput dalam bas

SIASAT...anggota forensik memeriksa bas tempat mayat ditemui.


KAJANG: Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila menemui mayat wanita yang reput dan berulat dalam bas rosak yang diparkir di kawasan Kompaun Menara Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, pengawal keselamatan terbabit dikatakan mahu memeriksa bas lama itu apabila diberitahu seorang mekanik mengenai kelibat seorang wanita kelihatan seperti sedang tidur di bahagian belakang bas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu jam 10.38 pagi selepas mendapat panggilan kecemasan daripada pengawal keselamatan di Menara MPKJ berkenaan.

“Mayat ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan telentang di bahagian belakang bas yang sudah tidak digunakan sejak dua tahun itu.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput serta berulat itu, kami anggarkan mangsa meninggal dunia sejak empat hingga lima hari lalu,” katanya.

Ab Rashid berkata, mangsa dipercayai berbangsa India dan berusia lewat 20-an hingga awal 30-an.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa disedari berada di dalam bas itu sejak Khamis lalu oleh mekanik yang datang memeriksa bas berkenaan sebelum dia memaklumkan pengawal keselamatan, pagi semalam.

Menurutnya lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang (HS) untuk bedah siasat.

Sementara itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut selagi punca kematian belum dapat dipastikan.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Sekiranya berlaku kecurigaan, segeralah ke melaporkan kejadian




Bedah perut keluar sudu

STABIL...Ah Lek diziarahi Yew selepas pembedahan mengeluarkan sudu (gambar kecil) dari dalam perutnya.


TAIPING: Pelik tapi benar! Itulah yang berlaku apabila seorang lelaki secara tidak sengaja tertelan sudu besi yang digunakannya ketika memakan nasi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Isnin lalu, mangsa seorang penjaja, Teoh Ah Lek, 57, terpaksa dikejarkan ke Hospital Taiping (HT) untuk rawatan kecemasan bagi mengeluarkan sudu yang ditelannya itu.

Mangsa yang ditemui di wad HT semalam berkata, dia tertelan sudu ketika cuba menggunakan alat itu untuk menggaru kerongkongnya yang terasa gatal.

Menurutnya, dia yang menjolok sudu sepanjang 15 sentimeter itu ke dalam kerongkong bagaimanapun secara tidak sengaja terlepas pegangan sebelum sudu itu tertelan serta masuk ke dalam perutnya.


“Saya jadi panik dan terkejut kerana sudu itu terus meluncur masuk ke dalam kerongkong. Saya kemudian segera mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Sebelum melakukan sesuatu, pikirkanlah keburukan dan kebaikannya.....





Pening hutang RM2j

ADUAN...Masni (kiri) menceritakan masalah kepada Yati selepas terjerat hutang along.


KUALA LUMPUR: Niat murni seorang wanita membantu orang lain terutama rakan yang dalam kesempitan dengan meminjamkan wang, memakan diri apabila dia kini menanggung hutang hampir RM2 juta.

Ibu kepada 12 anak yang bertugas sebagai guru di Sabah itu mengaku dia tidak berfikir panjang apabila menawarkan diri membantu 102 rakan dan kenalannya dengan meminjam wang daripada tiga ceti haram atau along tanpa pengetahuan suami dan keluarganya.

“Pada awalnya, saya hanya berniat ingin membantu rakan yang terdesak. Mungkin kerana bahagia melihat kegembiraan orang lain, saya langsung tidak terfikir niat baik itu memakan diri,” katanya kesal.

Wanita berasal dari utara Semenanjung hanya mahu dikenali sebagai Masni, 50, berkata, hidupnya makin tersepit apabila rakan yang meminjam mula mengadu tidak mampu membayar semula mengikut jadual dipersetujui sebelum ini, kerana terikat dengan pelbagai komitmen.


“Bayangkan, hanya dalam tempoh kurang sebulan pada Jun lalu, saya sudah meminjam RM685,000 daripada ceti untuk membantu 102 rakan dan kenalan.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Jangan terlalu memikirkan orang lain, diri sendiri yang merana....

Taufan Sandy balasan Tuhan

Seorang penduduk, Kathy Lahey menggeladah tapak rumahnya bagi mencari barangan peribadi selepas kediaman tersebut musnah akibat Taufan Sandy di kawasan penempatan Queens, New York City, pada 4 November lalu. - AFP



NEW YORK 6 Nov. - Tiga pemimpin agama tempatan menyatakan, Taufan Sandy yang melanda pantai timur Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan kemusnahan besar adalah kesan daripada kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender  (LGBT) dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Paderi Luke Robinson dari Gereja Quinn Chapel AME di Frederick, Maryland berkata, Sandy melanda New York City selepas Datuk Bandar Michael Bloomberg menyumbang dana kepada satu kempen di Maryland yang mempertahankan undang-undang perkahwinan sejenis di negeri itu.

"Bloomberg telah menyumbang sebanyak AS$250,000 (RM750,000) untuk kempen itu dan datang ke Maryland untuk membincangkan masalah tersebut.

"Ketika beliau berada di Maryland, seseorang telah berbisik menyatakan, 'Lebih baik kamu pulang ke rumah dan membuat bekalan kerana Tuhan sedang memberi hukuman'," kata Robinson seperti yang dilaporkan akhbar Washington Blade.

Menurut laporan akhbar tersebut, kenyataan paderi itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan satu perhimpunan yang menentang perkahwinan sejenis di Maryland.

Jelas Robinson seperti yang dilapor akhbar tersebut, Sandy melanda AS minggu lalu ketika berakhirnya musim taufan.

"Taufan itu turut melanda Maryland, tetapi atas kuasa Tuhan, bencana alam itu tidak mengganas di sini," katanya.

Seorang lagi ketua agama, Noson Leiter dari pertubuhan Yahudi Torah Jews for Decency turut menyatakan perkara sama apabila menyifatkan Taufan Sandy sebagai balasan Tuhan disebabkan undang-undang perkahwinan sejenis yang disokong di New York.

Terdahulu, seorang lagi paderi, John McTernan di laman webnya mengaitkan Taufan Sandy dengan amalan LGBT dan pendirian Obama yang menyokong perkahwinan sejenis.

"Tuhan telah merancang untuk memusnahkan Amerika. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara kita tahun ini," katanya. - AGENSI

Sumber Utusan

KOMEN: Semua yang berlaku tujuan untuk menyedarkan kita tentang balasan setiap perbuatan....

Lanyak sampai koma

PARAH...mangsa koma dibelasah.



KUCHING: Dua pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini, direman tiga hari bermula semalam kerana disyaki membelasah seorang tahanan sehingga koma dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan otak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap anggota atau pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan kesalahan dan memberi jaminan kes itu akan disiasat secara terperinci.

“Polis tidak akan menyembunyikan sebarang kesalahan dilakukan anggota dan pegawai, bahkan mereka akan didakwa seperti orang awam,” katanya sambil menjelaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, tahanan terbabit mengalami pendarahan dalam otak dipercayai ditumbuk pegawai polis berkenaan yang berang ketika proses soal siasat, Ahad lalu.

Majistret Zulhairil Sulaiman membenarkan kedua-dua pegawai berpangkat inspektor itu direman tiga hari bermula semalam untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Berilah contoh yang baik.......

Tunang Sengkek

SUDAH SIAP...Noor menunjukkan cincin yang sepatutnya disarungkan bakal suami.



BATU PAHAT: Pening memikirkan wang hantaran tidak cukup, seorang lelaki melakukan tindakan bodoh untuk menyelesaikan masalahnya apabila membuat laporan polis palsu kononnya dia disamun ketika mengeluarkan wang untuk dijadikan hantaran kahwin di bank, sebelum menghilangkan diri.

Lakonan lelaki berusia 24 tahun itu menyebabkan tunangnya serta keluarga menanggung malu apabila majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung Jumaat lalu, dibatalkan dan ditukar ditukar kepada majlis doa selamat.

Tunang lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Noor, 23, berkata, bakal suaminya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) empat hari sebelum hari persandingan pada 29 Oktober lalu dan memaklumkan dia menjadi mangsa samun.

“Dalam SMS itu dia memberitahu disamun ketika mengeluarkan wang daripada bank di Sungai Dulang sebanyak RM18,000 untuk perbelanjaan majlis perkahwinan kami termasuk wang hantaran RM12,000.

“Curiga dengan mesej yang diberikan, saya membuat pemeriksaan di bank berkenaan dan diberitahu tunang saya tidak mempunyai akaun di bank itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Berbincanglah secara baik untuk menyelesaikan masalah, jangan ambil jalan mudah.

Dua remaja dituduh membunuh

Dua remaja yang didakwa terlibat dalam kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dibawa ke Mahkamah Kanak-Kanak, Alor Gajah, Melaka, semalam. - Utusan/Mohammad Dzulhisham Che Hassim



ALOR GAJAH 5 Nov. - Dua remaja berusia 14 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar sebaya mereka dalam pergaduhan di Stesen Bas Pulau Sebang, Tampin, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyebabkan kematian K. Saravannan, 14, di Tingkat 1, Perhentian Bas & Teksi, Pulau Sebang, kira-kira pukul 2.30 petang, 24 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulunya, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Ishak yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang.

Walau bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili mereka memohon jaminan dikurangkan dengan alasan ibu tertuduh pertama hanya bekerja sebagai pekerja kilang dengan pendapatan tidak sampai RM1,500 dan mempunyai anak yang bersekolah.

''Bagi tertuduh kedua pula, bapanya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 dan menanggung lima anak dan isteri,'' kata Azrul.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Mohd. Firdaus Saleh membenarkan jaminan RM5,000 setiap seorang selain menetapkan syarat tambahan, mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Dalam prosiding tertutup itu, mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Sumber Utusan

KOMEN: Apa nak jadi dengan remaja sekarang..........

Nenek tunggu 38 tahun untuk duduki SPM

HASANAH Abdullah, 55, (kiri) bersama rakannya, Zurina Ismail, 39, mengulangkaji mata pelajaran Bahasa Melayu sebelum menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Chempedak, semalam.



YAN 5 Nov. - Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Hasanah Abdullah, 55, mencatatkan sejarah tersendiri hari ini apabila menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak di sini.

Hasanah yang mengambil aliran subjek teras dengan tambahan Bahasa Arab kelihatan sebak dan gembira kerana penantian selama 38 tahun untuk menjadi calon SPM akhirnya berjaya.

Ibu kepada enam orang anak dan nenek kepada tiga orang cucu itu berkata, peristiwa kematian ibu ketika berusia 15 tahun dan kekangan kewangan memaksanya membatalkan hasrat untuk menduduki SPM ketika berusia 17 tahun.

Katanya, setelah ibunya meninggal dunia, dia terpaksa mengambil alih tugas arwah ibu untuk menjaga enam adiknya yang ketika itu masih kecil.

“Selepas ibu meninggal dunia, setiap tahun saya akan menangis dan meminta izin kepada bapa agar dia membenarkan saya bersekolah semula kerana mahu menduduki SPM.

“Pada waktu itu, saya hanya memendam keinginan untuk mengambil SPM dan lulus cemerlang bagi mengejar cita-cita masuk ke universiti," katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.

Hasanah adalah tenaga pengajar di KAFA Masjid Al-Amin, Sungai Layar, Sungai Petani dan merupakan salah seorang daripada 70 calon SPM yang bertugas sebagai guru KAFA dan belajar di Sekolah Menengah (SM) Langkasuka.

Tambah Hasanah, biarpun terpaksa menduduki SPM pada usia yang lewat, ia bukanlah penghalang demi menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan prestasi akademiknya.

Seorang lagi calon, Mahmud Sri Wijaya Othman, 48, yang merupakan guru KAFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Dawai, Sungai Petani berkata, dia tidak berasa kekok untuk berada di dewan peperiksaan demi menimba ilmu.

Bapa kepada lima orang anak itu menjadikan anak sulungnya, Al-Kausar, 18, sebagai pendorong untuk dia berjaya dalam SPM.

“Dahulu saya hanya bersekolah sehingga darjah enam, kemudian sambung ke sekolah Arab dan tidak pernah mengambil peperiksaan SPM,’’ jelasnya.

Pemangku Pengetua SM Langkasuka, K.S Maniam berkata, tahun ini terdapat seramai 147 calon SPM termasuk 70 guru KAFA yang berusia lingkungan 30 tahun hingga 55 tahun dan enam jururawat di sekolah itu.

Katanya, calon yang terlibat tidak hanya membabitkan daerah Yan malah mereka dari serata daerah di negeri ini termasuk Sik, Pendang dan Kuala Muda.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat berkata, pada tahun ini jumlah calon SPM meningkat kepada 38,171 orang berbanding tahun lalu 36,688 orang.

Katanya, jumlah tersebut termasuk sekolah kerajaan, swasta, sekolah agama rakyat dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Jumlah pusat peperiksaan yang dibuka pada tahun ini adalah sebanyak 275 buah dan membabitkan 1,738 pengawas peperiksaan," katanya.

Sumber Utusan

KOMEN: Tidak mengira umur jika ingin menuntut ilmu, diri sendiri yaang dapat manfaatnya.

Mat rempit bertempiaran lari

Sebahagian penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi yang diadakan Unit Khas Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuantan, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI



KUANTAN 4 Nov. - Ratusan mat rempit di sini yang menjadikan malam minggu untuk berlumba bertempiaran melarikan diri apabila 'lokasi' mereka di pusat bandar ini diserbu pasukan polis dalam operasi khas melibatkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kontinjen negeri malam tadi.

Namun, tindakan pantas dan strategi polis yang menutup jalan empat lorong dan jalan-jalan kecil pukul 1.40 pagi di kedua-dua arah menyebabkan golongan terbabit gagal meloloskan diri.

Dalam operasi bermula pukul 8 malam itu, seramai 263 penunggang motosikal diperiksa dengan 117 daripada kenderaan mereka disita kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Selain itu, pihak berkuasa turut mengeluarkan sejumlah 220 saman dan 71 notis arahan bagi pemeriksaan semula.

Turut ditahan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu ketika menunggang motosikal secara melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Permatang Badak, di sini.

Operasi Unit Khas Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang diketuai Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit turut disertai pegawai dan anggota pelbagai cawangan dari kontijen negeri ini.

Ini termasuk trafik negeri, Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Bahagian Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan dan Bahagian Narkotik IPD Kuantan selain dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Kuantan.

Khuzir berkata, antara kesalahan dilakukan adalah menunggang motosikal tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin serta nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi.

"Selain itu, terdapat 19 buah motosikal ditinggalkan oleh pemilik terbabit manakala tujuh orang pula ditahan kerana didapati positif dadah.

"Pemilik motosikal yang meninggalkan kenderaan mereka semasa operasi itu akan disaman semasa menuntut kenderaan masing-masing nanti," katanya.

Kata beliau, operasi tersebut bertujuan mencegah gejala rempit yang sering menjadikan jalan di situ sebagai tempat berlumba.

"Kita juga menerima aduan daripada penduduk sekitar yang tidak tahan dengan bunyi bising serta lumba haram di situ dan tindakan segera diambil bagi mencegahnya," katanya.

Sumber Utusan

KOMEN: Apa nak jadi dengan anak melayu sekarang.......

10 anggota bomba cedera, lima parah

Anggota bomba memadamkan kebakaran pada empat tangki yang mengandungi minyak silinder terpakai di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - utusan/Zuharman Mohamad Nor



KOTA BHARU 4 Nov. - Seramai 10 anggota Bomba dan Penyelamat negeri cedera termasuk lima parah akibat disambar api ketika cuba memadamkan kebakaran empat buah tangki yang mengandungi minyak silinder terpakai di sebuah gudang bekas kilang tayar di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini pagi ini.

Ketika kebakaran kira-kira pukul 8.11 pagi itu, anggota bomba berkenaan sedang bertungkus-lumus memadamkan api bersama 29 anggota lain.

Keadaan bagaimanapun bertukar tragedi apabila minyak silinder daripada dua tangki berkenaan yang bocor disambar api dan meletup sehingga mencetuskan kebakaran besar sebelum menyambar anggota bomba terbabit.

Kejadian itu menyebabkan lima daripada mereka parah di bahagian muka, leher dan tangan. Malah, ada sebahagian daripada anggota tersebut terpaksa diselamatkan setelah baju mereka disambar api.

Kejadian itu turut menggemparkan pihak media yang sedang membuat liputan kebakaran tersebut sehingga terpaksa melarikan diri apabila melihat percikan api setinggi 10 meter mula menyambar kawasan sekeliling. Seorang daripada mereka turut terseliuh kaki ketika cuba menyelamatkan diri.

Percikan api itu yang lazimnya dilihat dalam filem-filem aksi, turut mencemaskan orang ramai terutama pekerja kilang di kawasan berhampiran.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata, lima anggota yang parah ialah Pegawai Bomba Kanan 1, Abdullah Din Mohamad, 55; Pegawai Bomba Kanan 2, Nazah Napi, 43; Abdul Razak Abdullah, 45; Wan Asri Wan Yaakob, 52; dan Zulkifli Mahmud, 40.

Katanya, mereka diberi rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

"Lima lagi anggota yang mengalami kecederaan ringan turut diberi rawatan sebagai pesakit luar di kedua-dua hospital berkenaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Azmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8 pagi dan seramai 39 anggota bersama lima buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Darul Naim dan Tunjung dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Kebakaran tersebut melibatkan empat buah tangki minyak silinder dan ketika operasi memadam dijalankan, dua daripada tangki berkenaan mengalami kebocoran sehingga menyebabkan api menjadi semakin marak dan menyambar 10 anggota di situ," katanya.

Kata beliau, dalam keadaan kelam-kabut itu, anggota yang mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital manakala anggota lain berusaha mengawal kebakaran walaupun menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

"Kebakaran itu memusnahkan bahagian belakang gudang tersebut dan sebuah lori tangki kosong yang diletakkan berhampiran. Secara keseluruhan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh dua jam," katanya.

Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Ong Cheok Hong, 38, ketika ditemui berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pekerjanya pukul 8.10 pagi, lalu menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Jelasnya, gudang tersebut sebelum ini digunakan untuk aktiviti mencelup tayar terpakai sebelum operasinya dipindahkan ke Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu dan gudang tersebut kini hanya dijadikan pusat servis tayar sahaja.

"Kita memang mempunyai empat tangki sisa minyak silinder yang digunakan untuk operasi mencelup tayar sebelum ini yang ditempatkan di bahagian belakang gudang tersebut.

"Ketika ini saya hanya mempunyai lima orang pekerja dan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan. Jumlah kerugian sehingga kini belum dapat dipastikan," ujarnya.

Sumber Utusan

KOMEN: Hati-hati semasa menjalankan tugas..........

Dihukum ala budak sekolah

MALU...rakaman video yang menunjukkan mangsa diherdik pegawai atasan.



JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan mendakwa dibuli ala budak sekolah oleh dua pegawai atasannya apabila diarah berdiri di atas kerusi, sebelum diminta menyanyikan lagu Negaraku dan Anak Kampung, kerana kesalahan tidur ketika bertugas.

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah hospital awam, di sini pada 23 Oktober lalu dan aksi buli itu dirakam menerusi telefon bimbit seorang daripada dua pegawai terbabit. Rakaman itu disebarkan menerusi Khidmat Pesanan Multimedia (MMS) kepada pengawal keselamatan syarikat yang sama kononnya sebagai pengajaran supaya mereka lebih berdisiplin.

“Apa yang mereka lakukan mengaibkan saya. Saya boleh terima teguran, tetapi mengapa mereka bertindak melampau dan merakam perbuatan itu sebelum berkongsi video berkenaan dengan orang lain.

“Saya malu. Maruah saya tercalar kerana apa yang dilakukan seolah-olah saya pelajar sekolah,” kata pengawal keselamatan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Jalil, 29.

Menurutnya, kejadian itu bermula apabila seorang daripada rakan sekerjanya melihat dia merenyuk surat tunjuk sebab yang diberikan ketua mereka, pada pagi hari kejadian.

“Kira-kira jam 4.30 petang saya diarahkan masuk ke pejabat dan berjumpa dua pegawai itu. Saya ingatkan hanya diberi amaran dan tidak menjangka dibuli mereka yang turut memaki saya.

“Malah, mereka turut merakam aksi menerusi telefon bimbit sebelum menyebarkannya,” katanya.

Menurutnya, pada awal pertemuan itu, kedua-dua lelaki itu memaki dan mengherdik sebelum mengajaknya bergaduh kerana tak berpuas hati tindakan dia merenyuk surat yang menyatakan dia mengingkari arahan. “Saya hanya mendiamkan diri kerana takut dan pada masa sama, mereka menyatakan saya dihukum kerana terlena ketika bertugas.

“Sebelum ini, saya pernah bertugas lebih empat tahun di sebuah jabatan kerajaan di Pahang, sebelum dipindahkan ke sini, tidak pernah mempunyai masalah disiplin atau dihukum sedemikian di tempat kerja lama,” katanya.

Jalil berkata, selain diarah berdiri di atas kerusi selama 10 minit dia juga disuruh menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat.

Katanya, walaupun ada pihak beranggapan hukuman luar biasa dijatuhkan kepadanya itu bertujuan mendisiplinkannya, dia kesal apabila apabila kejadian itu dirakam dan video disebarkan.

Berikutan itu, Jalil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, semalam.

Rakannya, yang hanya mahu dikenali sebagai Malek, 34, berkata, dia sedih dan terkilan apabila melihat rakaman video selama 16 minit itu.

Menurutnya, Jalil yang masih bujang baru bertukar ke sini dari Kuantan, Pahang dan orangnya agak ‘lurus’.

“Saya difahamkan perbuatan itu bukan kali pertama. Sebelum ini, ada antara kami dihukum tekan tubi 20 kali disebabkan tertidur ketika bekerja atau berpakaian tidak kemas.

“Jika tak berpuas hati dengan prestasi kerjanya, pegawai berkenaan sepatutnya memberikan surat amaran atau memberi nasihat kepadanya,” katanya.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Janganlah memalukan orang lain kerana perbuatan itu adalah dosa.......

Gambar majlis pernikahan Diana Danielle Farid Kamil






Diana Danielle Danny Beeson sah menjadi isteri kepada pelakon, Farid Kamil dalam majlis pernikahan yang berlangsung di tepi tasik ruang legar Hotel Flamingo, Ampang, Kuala Lumpur pada pagi semalam.

Farid Kamil dan Diana Danielle dinikahkan oleh Pegawai Takbir Agama (juga Pendaftar Kanan Perkahwinan Daerah Gombak), Ustaz Haji Daim Jajuli dan disaksikan dua rakan Farid iaitu Ahmad Razif Hamzah dan Abdul Hamid Abdul Razak.







Diana Danielle menerima lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang terdiri daripada senaskhah Al-Quran dan telekung, sirih junjung, mas kahwin dan cincin, sepasang persalinan, manisan, kek serta kasut dan beg.




Balasan daripada pengantin perempuan pula adalah tujuh dulang iaitu mini bike Kawasaki, sirih junjung dan Bubble Gum Towel, set pewangi Hugo Boss, sebentuk cincin dan wallet, majalah Polo, manisan serta foto album daripada pihak pengantin.







Majlis resepsi sebelah pihak perempuan akan diadakan pada 30 November 2012 manakala majlis sambut menantu pula akan berlangsung pada 12 Disember di Jitra, Kedah.

Credit info Zonartis, gambar kredit AstroAwani

Perkahwinan Datuk Lee Chong Wei ditaja hampir RM1.25 juta


LEE Chong Wei dan Wong Mew Choo mengenakan pakaian pengantin pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR - “Saya dapat rasai keikhlasannya,". Itu kata bakal pengantin baru, Wong Mew Choo ketika ditanya mengapa dia memilih Datuk Lee Chong Wei sebagai pasangan hidupnya.

Tambah Mew Choo: “Tiada siapa lagi melainkan dia (Chong Wei), lelaki yang saya penuh yakin dan percaya dapat memberikan perkahwinan impian dan kehidupan sempurna untuk saya."

Bekas pemain wanita No.1 negara ditemui pada sidang akhbar sempena perkahwinan mereka di rumah pengantin D&L Couture yang menaja hampir RM1.25 juta, merangkumi sut dan gaun pengantin, fotografi, gambar dan video perkahwinan, penghiasan majlis sehinggalah pakaian ahli keluarga, pengapit dan kenalan rapat.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah tajaan kasut Mew Choo yang bernilai RM7,000.

Ditanya pandangannya terhadap Chong Wei, yang biasanya lebih sinonim dengan pakaian sukan, apabila memakai sut tuxedo: “Ya. Dia handsome, tapi sama ada dia memakai sut atau berpakaian sukan, dia sentiasa kacak dan istimewa dalam hati saya."

Sementara itu, Chong Wei memberitahu, bakal isterinya meluahkan hasrat untuk berbulan madu di Kepulauan Maldives, New Zealand Amerika Syarikat, namun memandangkan dia masih aktif bermain badminton, rancangan itu ditangguhkan dan akan dilakukan secara berperingkat.

“Dia ada beritahu hasratnya untuk melawat New Zealand, Maldives dan Amerika, tetapi terpaksalah saya ‘hutang’ dengan dia dulu... dia faham akan rancangan dua tahun saya iaitu terus bermain sehingga Sukan Asia (Incheon 2014).

“Jika kecergasan saya mengizinkan, saya mungkin lanjut persaraan sehingga Olimpik (Rio 2016).

“Selepas kahwin, saya rasa dia tidak akan jadi suri rumah yang duduk di rumah, dia akan bantu saya menguruskan perniagaan-perniagaan saya," jelas Chong Wei.

Dalam pada itu, Chong Wei sendiri mengesahkan seteru utama tetapi juga sahabat rapatnya, Lin Dan, tidak dapat menghadiri majlis perkahwinannya kerana perlu beraksi pada Terbuka China di Shanghai, minggu depan.

Sumber Utusan

KOMEN: Semoga berkekalan dan bahagia selalu.....

Banjir kilat berulang lagi

TENGGELAM...banjir di Jalan Kebun, semalam.



KLANG: Hampir 600 keluarga di Kampung Johan Setia, Kampung Sri Nadi, Kampung SC, Kampung Bukit Naga, Kampung Baru Dua, Kampung Baru Satu dan Taman Malindo, di sini, bagaikan tidak sempat bernafas kerana banjir kilat yang melanda Rabu lalu, berulang lagi petang semalam berikutan hujan lebat tanpa henti lebih tiga jam.

Nasib malang penduduk kawasan itu berterusan kerana pada 19 Oktober lalu, rumah mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter. Hujan lebat bermula jam 5 petang yang mengakibatkan banjir kilat itu menenggelamkan hampir keseluruhan laluan masuk dan padang Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, di sini, sehingga pelajar dan guru terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang selepas tamat sekolah sesi petang.

Penduduk, Anuar Aziz, 41, ketika ditemui berkata, banjir kilat menjadi ancaman biasa di kalangan penghuni di kawasan itu.

“Dalam keadaan ini perlu saling membantu kerana kebanyakan jiran kami yang menjadi mangsa sedang bekerja,” katanya.

Penduduk lain, Kholik Suharno, 50, pula mendakwa banjir kilat semalam antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.

“Kami tahu hujan tidak boleh dihalang, tetapi pihak berkenaan perlu memastikan semua sistem pengairan seperti parit mengalirkan air selepas hujan lebat. Sesiapa pun tak boleh tahan kalau banjir sentiasa melanda kerana ia menyebabkan kami sentiasa kerugian,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Samsi Sarmin, 52, dari Kampung Baru Dua, berkata, banjir kilat kali ini antara terburuk kerana sebelum ini air tidak memasuki rumahnya.

Katanya, walaupun parit utama berdekatan sudah diselenggara, air melimpah dan memasuki rumah walaupun beliau mengeluarkan ribuan ringgit membina tembok di tepi parit berkenaan.

“Air baru sahaja surut semalam (kelmarin), tetapi hujan terlalu lebat menyebabkan air parit melimpah. Kami terpaksa mengalihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi bagi mengelak kejadian tidak diingini, tambahan pula hujan belum reda,” katanya.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah di Kampung Johan Setia dan Kampung SC yang membabitkan hampir 200 rumah.

Menurutnya, beberapa pegawai JKM membantu menguruskan pendaftaran mangsa banjir dan menasihatkan mereka supaya segera berpindah ke tempat selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Jagalah kebersihan sungai kita agar tidak tersumbat dan dapat mengalak dari banjir..

Rompak bawa bas sekolah


TERPERANGKAP...rakaman CCTV menunjukkan kumpulan terbabit melarikan barangan berkenaan.



KUALA LUMPUR: Sekumpulan penjenayah, sebahagian besarnya bermotosikal turut menggunakan sebuah bas sekolah untuk mengangkut pelbagai kelengkapan penunggang motosikal berkuasa besar terutama jaket kulit yang dicuri daripada sebuah kedai di Jalan Genting Klang, di sini, awal pagi semalam.

Jenayah berlaku pada jam 5.30 pagi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, Alpinestars Shop Malaysia menunjukkan sekurang-kurangnya lapan lelaki terbabit kejadian itu.

Rakaman itu menunjukkan tujuh penjenayah terbabit menaiki motosikal serta memakai topi keledar manakala seorang lagi memandu bas sekolah dan mereka mengambil masa hanya tiga minit untuk mencuri barangan bernilai hampir RM70,000.

Pengurus Besar, Alpinestars Shop Malaysia, Rudi Fariq berkata, ini kali pertama kedai syarikat berkenaan dirompak dan beliau percaya ia sudah dirancang kumpulan terbabit.

“Kalau lihat pada rakaman CCTV, cara mereka lakukan rompakan sangat teratur dan hanya beberapa minit diambil untuk melarikan barangan kami bernilai hampir RM70,000.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Sepandai-pandai tupai melompat.........

Wanita tewaskan jerung

MARIKO menceritakan bagaimana dia menumbuk jerung yang cuba membahamnya sambil diperhatikan suaminya.  

JERUNG harimau.

HAWAII: Seorang penyelam wanita terselamat daripada serangan jerung sepanjang empat meter di sini selepas menggunakan gerakan seni mempertahankan diri.

Pemegang tali pinggang hitam taekwondo, Mariko Haugen sedang berenang bersama suaminya di pantai Maui apabila mendapati dirinya berdepan dengan seekor jerung harimau.

Apabila diserang, Mariko menggunakan kemahirannya dan menumbuk hidung haiwan pemakan manusia itu.

“Keadaan tiba-tiba menjadi seperti filem Hollywood. Anda melihat rahang besar ikan itu menerkam anda. Saya tidak dapat menceritakan bagaimana takutnya saya ketika itu.

“Taekwondo yang saya pelajar membolehkan saya bersedia untuk menumbuk,” kata Mariko.

Menyedari ia berdepan dengan orang yang setanding dengannya, jerung berkenaan meninggalkan tempat itu, sekali gus membolehkan Mariko dan suami, Don berenang ke pantai.

Mariko yang berasal dari Folsom, California, tidak dibaham, tetapi memerlukan 60 hingga 70 jahitan pada tangan kirinya yang cedera kerana terkena gigi ikan itu ketika menumbuknya.

Sementara itu, Don berkata, mereka sungguh bernasib baik.

Bagaimanapun, pengalaman ngeri itu tidak akan menyebabkan dia berhenti berenang di laut.

“Saya sentiasa memberitahu anak saya, tidak ada alasan untuk takut kepada jerung kerana apa yang lebih menakutkan ialah barah payu dara. Satu daripada lapan orang menghidapnya.

“Tetapi hanya satu daripada empat juta pelancong ke Hawaii dibaham jerung. Kerana itu kita tidak perlu takut langsung,” kata Don. - DM

Sumber Harian Metro

KOMEN: Contohilah keberaniaan beliau.....

6 anak turut derma organ

YUSUFF Hassan (kiri) bersama Sapiah Hamzah menceritakan pengalaman mereka mengenai pendermaan organ pada Program Sambutan Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/SITI AIRUNNISA ALAUI


KUALA TERENGGANU 1 Nov. - Kira-kira lima tahun lalu, Yusuff Hassan, 56, dan Sapiah Hamzah, 52, kehilangan anak mereka, Nur Mohamad Sahiduzzaman, 15, dalam kemalangan jalan raya.

Biarpun kejadian itu telah lama berlalu, namun ingatan terhadap anak mereka tetap kukuh, apatah lagi arwah merupakan penderma jantung pertama buat Tee Hui Yee, 19, yang meninggal dunia September lalu.

Lebih membanggakan, bukan sahaja jantung, malah enam organ anaknya iaitu paru-paru, hati, dua buah pinggang dan dua kornea turut didermakan selepas anaknya itu disahkan mati otak akibat kemalangan tersebut.

Kesanggupan itu tidak terhenti di situ sahaja apabila suami isteri berkenaan turut mengizinkan enam anaknya yang berusia antara 11 hingga 24 tahun berikrar bagi menderma organ mereka suatu hari nanti.

"Memang pada mulanya sukar untuk kami menerima hakikat anak kami telah meninggal dunia, namun kami teringat permintaan arwah yang pernah memberitahu ingin menderma organ dan permintaan itu perlu dipenuhi.

"Selepas menderma organnya, kami berasa sangat tenang dan diberi kekuatan menerima ketentuan takdir sehingga seluruh ahli keluarga kini mendaftar sebagai penderma organ," kata Yusuff.

Pasangan suami isteri itu ditemui dalam Program Sambutan Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, dekat sini hari ini.

Yusuff dan isterinya merupakan antara tetamu istimewa yang dijemput berkongsi pengalaman bersama lebih 300 hadirin dalam program berkenaan.

Sejak tiga tahun lalu, Yusuff yang kini menetap di Kuala Rompin, Pahang menjadi sukarelawan dengan menyertai pelbagai program bersama Kementerian Kesihatan Malaysia untuk berkongsi pengalaman serta memberi motivasi bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat berikrar menjadi penderma organ.

Dalam pada itu, Yusuff turut meminta kerajaan mempertimbangkan supaya para penderma organ terutamanya yang disahkan mati otak mendapat layanan lebih istimewa ketika ditempatkan di hospital.

Jelasnya, perkara itu memandangkan keputusan membenarkan ahli keluarga menderma organ bukan perkara mudah.

"Saya telah melalui pelbagai rintangan ketika menguruskan anak saya, jadi saya amat berharap kementerian dapat mengkaji perkara ini kerana saya yakin layanan itu dapat menarik minat masyarakat untuk mendaftar sebagai penderma organ," jelasnya

Sumber Utusan

KOMEN: Menderma organ dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain selain mendapat pahala......

Empat sekeluarga maut kereta di rempuh lori



POKOK SENA: “Sukar menggambarkan perasaan ketika itu dan kaki saya tiba-tiba menggigil sebaik melihat nombor pendaftaran Perodua Viva yang terbabit kemalangan itu milik ayah.”

Kata Mohd Anuar Shafie, 32, anak kedua tukang gunting, Shafie Hamid, 57, yang terbunuh bersama isteri, Che Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka, Mohd Ittihal, 26, dan Nurul Faiz, 24, selepas kereta mereka naiki bertembung lori seberat dua tan dalam dalam kemalangan ngeri di Jalan Pendang-Kebun 500 berhampiran Kampung Permatang Limau, di sini, semalam.

Seorang lagi anak pasangan itu, Muhd Iqbal Zakuan, 15, parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Kejadian jam 2.30 petang itu berlaku apabila lori terbabit hilang kawalan akibat kerosakan teknikal sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kereta itu menyebabkan keempat-empat mangsa mati di tempat kejadian.


Mohd Anuar berkata, dia melalui kawasan berkenaan dan melihat orang ramai mengerumuni sebuah Perodua Viva dan lori yang terbabit kemalangan ngeri, namun tidak mengesyaki apa-apa selain beranggapan ia hanya kemalangan biasa.

Sumber Harian Metro

KOMEN: Ajal maut di tangan Tuhan.......